Kawan-kawan dan sahabat handai....

Khamis, Disember 10, 2009

Prihatin kebajikan rakyat, kerajaan negeri tetap membuka pusat khidmat rakyat di Dun Pelabuhan Klang


SHAH ALAM, 10 Dis: Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selengor tetap membuka sebuah Pejabat Khidmat Rakyat di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelabuhan Klang biarpun Dun itu kini diwakili Adun bebas Badrul Hisham Abdullah.

Bagaimanapun ianya akan dipertanggungjawabkan kepada setiausaha politik menteri besar, Nik Nazmi Bin Nik Ahmad yang ditugaskan sebagai Adun penyelaras bagi Dun tersebut dengan dibantu dua petugas lain.

Dalam satu kenyataan hari ini, sekriteriat akhbar kerajaan negeri Selangor memberitahu ianya sebagai rasa prihatin dan tanggungjawab kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat ekoran tindakan Badrul yang mengumumkan bahawa beliau keluar PKR dan menjadi Adun bebas yang ‘mesra’ BN Oktober lalu.

"Kerajaan Negeri Selangor terus komited menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat dengan membuka Pejabat Khidmat Rakyat DUN N46 Pelabuhan Klang di 104-A, Solok Pendamar Indah 1, 42000 Pelabuhan Klang dan YB Nik Nazmi Bin Nik Ahmad sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penyelaras bagi DUN Pelabuhan Klang," kenyataan itu dipetik.

Pejabat khidmat rakyat itu akan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat setiap minggu dan dibuka bermula jam 9 pagi hingga 5.30 petang.

Manakala hari bertemu pelanggan di pejabat tersebut akan diadakan setiap hari Jumaat selama dua jam iaitu dari pukul 9 hingga 11 malam.

Orang ramai boleh menghubungi Pejabat Khidmat Rakyat DUN N46 Pelabuhan Klang di talian 019-2276641, 012-6776736 (Encik Kamal Ariffin) dan 013-3711808 (Encik Abdul Hadi) untuk sebarang urusan berkaitan.

Badrul mengumumkan keluar PKR dan menjadi Adun bebas selepas beberapa desakan termasuk cadangan dari Menteri Besar yang juga Pengerusi PKR Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri supaya beliau meletak jawatan.

Desakan dan cadangan itu dibuat selepas hampir setahun proses membetulkan keadaan dibuat namun gagal dan sikap Adun berkenaan tidak berubah.

Kerajaan Selangor juga sebelum ini mendakwa sering menerima aduan dari penduduk penduduk di Pelabuhan Klang mengenai ketidakupayaan Badrul Hisham menjalankan kewajipan beliau sebagai wakil rakyat.

Sumber: Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Orang kito