Kawan-kawan dan sahabat handai....

Khamis, Mei 06, 2010

Selamat Hari Jadi Altantunya

SHAH ALAM 6 Mei - Pada 7 November 2006 cebisan mayat seorang wanita Mongolia berusia 28 tahun bernama Altantuya Shaariibuu ditemui bertaburan berhampiran Empangan Tasik Subang di Hutan Simpan Puncak Alam, Shah Alam, Selangor.

Mayat beliau dijumpai 17 hari selepas dibunuh dengan kejam oleh dua anggota Unit Tindakan Khas dengan menggunakan bahan letupan C4.

Sekiranya beliau masih hidup Altantuya akan genap 32 tahun usianya hari ini tetapi takdir mengatasi segalanya.

Beliau dilahirkan pada 6 Mei 1978 kepada pasangan Dr Shaariibuu Setev, seorang profesor psikologi dan isterinya Altentsetseg Sanjaa.

Altantuya tinggal dan dibesarkan di St Petersburg, Rusia sehingga berusia 12 tahun dan mendapat pendidikan di Beijing, China.

Beliau menguasai bahasa Inggeris, Rusia, Mandarin dan Mongolia.

Altantuya bekerja sebagai guru siswazah dan penterjemah dan jurubahasa di Ulaan Bator. Altantuya Shariibuu juga bekerja dengan beberapa agensi pelancongan dan sebagai model sambilan.

Daripada maklumat yang diperolehi berdasarkan dokumen yang didakwa diperolehi daripada polis Malaysia saat-saat akhir kematian Altantuya adalah amat menyayat hati .

Altantuya ditembak di sebelah pipi kiri dan kemudian pakaiannya ditanggalkan dan kemudian mayatnya dibungkus dalam beg plastik hitam.

Lebih kejam, Altantuya dikatakan ditembak sekali lagi apabila tangannya dilihat masih bergerak.

Malah ada keterangan yang mengatakan beliau ditembak ketika merayu untuk tidak dibunuh kerana dirinya mengandung.

Kematian beliau akan dianggap sebagai biasa sekiranya takdir tidak mengaitkan beliau dengan beberapa individu berpengaruh di Malaysia termasuk dakwaan pembabitan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan penasihat politik Abdul Razak Baginda.

Pembunuhan Altantuya secara amat tidak berperikemanusiaan telah mendedahkan skandal jenayah dan rasuah terbesar dalam sejarah Malaysia yang didakwa melibatkan sehingga peringkat pimpinan tertinggi negara.

Kedua-dua anggota UTK yang dituduh membunuh Altantuya telah didapati bersalah serta dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah dan kini menunggu proses rayuan.

Tetapi kesan yang lebih besar daripada kematian tragis Altantuya ialah terbongkarnya skandal rasuah yang membabitkan pemberian komisyen berjumlah 114 juta euro kepada syarikat yang dikaitkan dengan Abdul Razak berkaitan pembelian kapal selam Scorpene.

Atas usaha gigih badan memperjuangkan hak asasi, Suaram skandal rasuah Scorpene ini sedang disiasat oleh pihak pendakwaraya Perancis.

Skandal Scorpene tidak lagi boleh ditutup pihak berkuasa Malaysia walaupun mereka berusaha keras untuk menyakinkan rakyat bahawa tidak ada sebarang salahlaku rasuah.

Ia sudah menjadi isu antarabangsa yang bakal mendedah serta menelanjangkan segala keburukan dan penyelewengan pemimpin yang rakus kuasa dan tamak haloba.

Mungkin akhirnya kematian Altantuya tidak menjadi sia-sia dan rohnya akan bersemadi dalam aman dan tenteram sekiranya kes rasuah Scorpene mampu membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

Hanya masa akan menentukan.

Selamat Hari Jadi Altantuya!

Sumber:Suara-Keadilan.com

Orang kito