Kawan-kawan dan sahabat handai....

Rabu, Disember 08, 2010

Selproa Selar Tindakan Polis Kasari Peserta Perhimpunan Bantah Kenaikkan Air

SHAH ALAM 8 Disember - Persatuan Pegawai-pegawai Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Negeri Selangor (Selproa) menyelar tindakan pihak polis yang bertindak ganas ketika menyuraikan peserta perhimpunan rakyat anjuran kerajaan negeri, Ahad lalu.

Presiden Selproa, Abdul Razak Ismail dalam kenyataannya turut meminta pihak polis tidak menjadi 'alat'  Umno-Barisan Nasional untuk menghalang gelombang penentangan rakyat terhadap regim itu.

"Kita kecewa dengan sikap pihak polis yang menggunakan kekerasan secara keterlaluan semasa menyuraikan perhimpunan rakyat di hadapan Masjid Negara dan stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM).

"Mereka (polis) perlu dilatih lagi. Tugas mereka bukan mendera atau maki hamun orang ramai.

"Ini tidak dilakukan dengan betul dan mereka sepatutnya profesional menanganinya.” ujar beliau.

Tambahnya,  tindakan itu akan menyebabkan pasukan polis akan terus dicemuh oleh orang ramai dan keadaan ini akan mengambil masa yang lama bagi rakyat menyakini 'keboleh percayaan' mereka terhadap mereka.

Beliau dalam kenyataan yang sama turut menyertakan beberapa keping gambar tindakan keterlaluan pihak polis terhadap Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) Azmizam Daman Huri, yang kemudiannya ditahan oleh pihak polis pada hari tersebut.  

Tindakan Ganas Surai Perhimpunan Aman Calar Kredibiliti KPN Baru

SHAH ALAM 7 Disember - Tindakan ganas Polis Di Raja Malaysia (PDRM) menahan dan memukul peserta demonstrasi perhimpunan aman bantah kenaikkan harga air di Lembah Kelang, Ahad lepas telah mencalar integriti dan kredibiliti Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Ismail Omar.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin dalam kenyataannya berkata i sikap “double standard” itu membuktikan Ismail gagal melaksanakan tugasnya dan tindakan itu turut menguatkan dakwaan institusi kerajaan, termasuk PDRM dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah diperkudakan demi kepentingan politik Umno-Barisan Nasional.

"Tindakan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) yang telah menahan dan memukul 52 peserta perhimpunan aman semalam membuktikan tahap sebenar ketelusan dan kebertanggungjawaban PDRM dalam melaksanakan tugas.

"Rekod buruk pertama Ketua Polis baru ini membuktikan bahawa PDRM masih berterusan mengamalkan sikap “double standard” dalam melaksanakan tugas dan menguatkan lagi dakwaan bahawa kesemua institusi kerajaan kini, termasuk PDRM dan FRU telah diperkudakan demi kepentingan politik BN-Umno," ujar beliau.

Malah, penafian dan sikap angkuh kerajaan Umno-BN untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor demi kepentingan rakyat, menunjukkan seolah-olah mereka turut bersubahat dalam ‘rompakan besar-besaran hak rakyat’ oleh syarikat Bekalan Ais Selangor (Syabas).

"Sikap tidak adil PDRM, apabila penyokong dan warga Selangor yang ingin menuntut keadilan telah ditahan dan disekat secara ganas dengan menggunakan water cannon dan gas pemedih mata, sebaliknya GAPS (Gabungan Anti Penyelewangan Selangor) yang lebih jelas berunsur perkauman dan mencetuskan provokasi dibenarkan berhimpun dan melakukan huru-hara.

"Profesionalisme PDRM juga layak dipersoalkan kerana telah bersikap biadap dengan tidak menghormati Masjid Negara sebagai sebuah premis rumah ibadah apabila berterusan gas pemedih mata dilepaskan di perkarangan masjid sehinggakan menjejaskan orang awam yang sedang bersolat," kata Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang.

Tambahnya, perlakuan ganas pihak berkuasa itu memalukan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi membangun, sekaligus bertentangan dengan hasrat bersama untuk memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara bertaraf maju yang mementingkan rakyat.

Lagi Institusi Kewangan Terkemuka Ramal Pelan Najib Gagal

KUALA LUMPUR 7 Dis - Bank Pembangunan Asia (ADB) menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia berkembang hanya pada kadar sekitar 5 peratus tahun depan, yang mana lebih rendah disasarkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bank tersebut berkata perkembangan pantas di Malaysia pada suku tahun pertama pada 2010 adalah disebabkan kesan ekonomi pada suku pertama tahun 2009, yang memberikan petunjuk seperti pengeluaran industri dan penjualan runcit telah stabil.

Di bawah pelan pentadbiran Najib untuk menjadikan negara berpendapatan tinggi, Malaysia hendaklah mencapai 6 peratus setahun bagi mencapai pendapatan per kapita negara kasar sebanyak RM46,400 pada tahun 2020.

"Pemulihan bentuk-V telah tersasar dalam perkembangan di Asia Timur dan cabaran untuk rantau ini adalah untuk meletakkan polisi negara yang akan menperterjemahkan pemulihan pantas ke pertumbuhan jangka panjang," kata Iwan Azis, Ketua Jabatan Integrasi Ekonomi Regional ADB yang menyediakan laporan tersebut.

Perbandingan antara negara ASEAN yang lain, Malaysia menganggarkan pertumbuhan pada kadar yang sama dengan Singapura iaitu sebanyak 5 peratus, yang mana lebih tinggi daripada Thailand (4.5 peratus) dan Filipina (4.6 peratus) tetapi lebih rendah berbanding Indonesia (6.3 peratus), Kemboja (6 peratus), Myanmar (5.3 peratus) and Vietnam (7 peratus).

Sementara itu, China pula meramalkan pertumbuhan negaranya sebanyak 9.1 peratus tahun depan, manakala Korea (4.6 peratus) dan Hong Kong (4.3 peratus).

ADB dalam laporannya itu juga berkata risiko penurunan anggaran itu termasuk keadaan tidak konsisten ekonomi di negara maju, kestabilan arus modal, inflasi dan gelembung harga aset serta tindakan perlindungan.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia berkembang pada 5.3 peratus pada suku ketiga tahun ini selepas perkembangan yang memberangsangkan pada suku pertama yang disebabkan penurunan permintaan luaran dan perbelanjaan kerajaan yang berkurangan.

Ekonomi negara telah berkembang sebanyak 10.1 peratus pada suku tahun pertama dan 8.9 peratus pada suku tahun kedua.

ADB meramalkan 6.8 peratus pertumbuhan ekonomi negara tahun ini, yang mana berada dalam julat 6-7 peratus dijangka oleh kerajaan.

Najib Desperado, Selar Pakatan Rakyat Anti Nasional

SHAH ALAM 8 Dis - Dakwaan Datuk Seri Najib Razak yang sewenang-wenangnya menyelar pemimpin Pakatan Rakyat sebagai “sangat merbahaya dan anti nasional” sewaktu konvensyen Barisan Nasional (BN) baru-baru ini merupakan tindakan biadap dan tidak mencerminkan ketokohannya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata hasutan dan fitnah yang dilemparkan sama sekali tidak berasas kerana telah dibuktikan dalam Deklarasi Pakatan Rakyat bahawa kerajaan Pakatan Rakyat akan sentiasa mendukung prinsip kenegaraan dan patriotisma sebagai elemen utama perjuangan.

"Sebagai pemimpin nombor satu, Najib seharusnya lebih memfokuskan kepada kerjanya, namun sebaliknya, beliau sendiri asyik bermain retorik dan fitnah dengan harapan agar rakyat akan lupa pada perlakuan sumbang dan penindasan Umno-Barisan Nasional selama ini.

"Beliau  seharusnya menasihati timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar beliau dapat bermuhasabah diri atau melakukan introspeksi terhadap kelemahan diri, seperti yang disarankannya sendiri dalam ucapannya di konvensyen tersebut.

Tambahnya, tindakan sewajarnya juga harus dikenakan terhadap Muhyiddin yang jelas dilihat sebagai seorang anti-nasional kerana sering kali membuat kenyataan berunsur rasis dan menimbulkan amarah dan kebencian rakyat.

Siri fitnah tersebut kata Zuraida merupakan strategi dan tindakan desperado Najib bagi mengalih tumpuan dari kemarahan rakyat akibat ‘pakej kenaikan harga 4 dalam 1” dan isu dalamannya sendiri, seperti konspirasi penangguhan pemilihan Umno dan rombakan Kabinet yang akan berlaku tidak lama lagi.

"Penghinaan kepada kapasiti rakyat sebagai pendukung kerajaan apabila beliau sendiri tidak menghormati kehendak dan pandangan rakyat, sebaliknya hanya membuat keputusan dengan mementingkan dan menjaga keuntungan kelompok kronisme semata-mata.

"Andai benar ini petanda awal kepada tarikh Pilihanraya Umum Ke-13, pemimpin Pakatan Rakyat akan bersedia untuk menghadapinya, kerana Najib nampaknya menyedari bahawa rakyat semakin membenci partinya sementara keyakinan rakyat kepada pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat terus meningkat.

Orang kito