Enam pilihan raya kecil telah diadakan di Semenanjung selepas pilihan raya umum 8/3/08 yang lalu. Umno dan Barisan Nasional kalah kesemuanya. Di Semenanjung, 6-0. Apa yang berlaku itu menunjukkan demokrasi bantut sekalipun tidak lagi boleh digunakan untuk meneruskan kekuasaan Umno dan BN. Sebab itulah mereka bermati-matian enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak.
Dalam perkembangan terbaru, sesudah tertungging hangit dalam enam pilihan raya di Semenanjung, termasuk di Manek Urai yang hendak dijadikan talian hayat Umno, berita Malaysiakini bertajuk "Pro-ISA bertembung demo anti-ISA," menunjukkan Umno mahu bermain di jalan raya pula. Dah naik darjah nampaknya.
Dari perbualan dengan beberapa orang penyokong pembangkang, keinginan Umno untuk bermain di jalan raya itu menjadi pendorong untuk mereka bermain di jalan raya juga juga. Sebelum ini, ramai yang saya jumpa dah tawar hati. Maklumlah, yang selalu kelihatan di hadapan untuk menggerakkan demonstrasi itu ialah tokoh pro-kerajaan perpaduan. Tetapi, bila Umno juga mahu bermain di jalan raya, tiba-tiba naik semangat pula mereka.
Terima kasih Umno kerana berhasrat untuk menyatukan semula PAS - sekurang-kurangnya di jalan raya.
Apa pun, saya tidak nampak ugutan hendak bertembung di jalan raya itu boleh mencapai apa yang hendak dicapai oleh Umno. Ia bukan cara terbaik untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR). Ada cara lain boleh digunakan. Hari ini, melihat perkembangan siasatan kes terbunuhnya Teoh Beng Hock within SPRM vicinity and under SPRM custody, saya semakin terasa cara itu akan digunakan dan kerajaan PR di Selangor mungkin akan ditumbangkan.
Bagaimana caranya? Bukan mudah untuk menulis tanpa diambil tindakan di bawah Akta Hasutan. Bagaimanapun, dalam posting bertajuk "Wujudkah rakaman siasatan Teoh oleh SPRM?," saya tulis:
Oleh kerana setakat ini pihak polis tidak menolak ada unsur jenayah dalam kes terbunuhnya Teoh itu, saya teringin nak tengok ke arah manakah perginya unsur jenayah, jika didapati ada unsur jenayah. Saya tak naklah kata rasa-rasa akan seiring dengan arah yang dikehendaki beberapa blogger Umno yang mengulas kes terbunuhnya Teoh itu.
Adakah apa yang akan berlaku akan lari dari skrip kongsi gelap Umno? Saya terbayangkan benda-benda yang tak berani nak ditulis. Skrip dah ada, susah nak cakap.
Apa yang menarik, kali ini kerja Umno berjalan dengan begitu tersusun. Dari cakap-cakap, tulisan-tulisan dan komen-komen dalam blog hinggalah kepada apa yang sedang berlaku sekarang, ia kelihatan begitu seiring dan terarah.
Ketika orang pembangkang masih lagi mabuk dengan kemenangan, Umno bertindak dengan begitu baik dan tersusun. Contohnya di Manek Urai, sebaik sahaja Pak Su Weil meninggal dunia, Umno telah bergerak dengan memenuhi borang kajian sikap terlebih dahulu. Mereka mencula dengan lebih baik. Mereka letak target yang munasabah. Kemudian, dari hasil kajian melalui borang kajian sikap itu, mereka tumpu betul-betul sasaran mereka. Bukan takat main duit sahaja walaupun begitu banyak duit yang digunakan.
Kali ini, seolah-olah kerja tersusun yang menunjukkan hasilnya di Manek Urai sebelum ini sedang diaplikasikan di Selangor - walaupun dalam bentuk yang lain dan di gelanggang yang lain.
Persoalannya, adakah Umno dan BN sahaja yang bersalah jika kerajaan PR di Selangor tumbang?
Zaman Allahyarham Tan Sri Asri Muda menjadi Yang Dipertua Agung PAS dulu, saya selalu mendengar penceramah berkata:
"Mata kapak yang diperbuat dari besi tak akan dapat menumbangkan pokok kayu jika tak ada ulu kapak yang diperbuat dari kayu juga".
Blogger macam saya tak akan dapat menulis tentang sesuatu kejadian dan peristiwa jika tak ada kejadian atau peristiwa yang berlaku. Para penyokong pembangkang bolehlah terus memuaskan hati mereka by killing the messenger.
Sumber: penarikbeca.blogspot.com,
sila klik disini