Kerajaan Kedah Beri Potongan 25 Peratus Peminjam Yang Langsaikan Hutang
ALOR SETAR, 9 Dis (Bernama) -- Kerajaan Kedah akan mengambil tindakan tegas terhadap penerima pinjaman pelajaran yang gagal menjelaskan hutang, sebaliknya diskaun 25 peratus diberi mulai Januari ini kepada mereka yang melangsaikan hutang.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata sehingga semalam terdapat seramai 3,096 peminjam tidak aktif yang berhutang berjumlah RM18,373 juta dengan Lembaga Biasiswa Kedah dan cuma 1,088 sahaja yang aktif.
"Tindakan ini termasuk mendaftarkan nama peminjam dan penjamin dengan CTOS (Credit Tip Off Service) supaya mereka susah apabila hendak membuat pinjaman," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di sini, Rabu.
Menurut Azizan, Lembaga Biasiswa Kedah cuma dapat mengutip balik pinjaman sebanyak RM1.376 juta tahun ini sehingga Nov lepas manakala RM1.692 juta pada tahun lepas.
"Sebagai insentif, kita akan beri diskaun potongan 25 peratus kepada peminjam yang menjelaskan baki pinjaman mereka mulai Januari ini. Kita juga akan mencari mereka sehingga di rumah dan tempat kerja.
"Kita akan berbincang dengan majikan mereka. Setakat ini Jabatan Pendidikan Kedah memberi kerjasama untuk memotong gaji kakitangannya," kata Azizan.
Beliau menambah peminjam yang meninggal dunia, penjamin dilepaskan daripada tanggungjawab sebaliknya waris peminjam yang akan membayar balik baki hutang.
Katanya Lembaga Biasiswa akan melantik panel peguam untuk mengambil tindakan terhadap peminjam engkar dan mereka (peminjam) akan menanggung segala kos guaman.
-- BERNAMA
Apalagi yang rakyat harapkan pada BN, tengok tu cara Pakatan Rakyat memerintah. 25% potongan bukan nya sikit. Timbang rasa pemerintah negeri Kedah sepatutnya menyedarkan para peminjam untuk melunaskan apa yang mereka pinjam dahulu.
BalasPadam