Kawan-kawan dan sahabat handai....

Selasa, Disember 08, 2009

lagi berita pecah tembelang........


BN pula disaman RM546 juta kes kontrak

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan sebuah syarikat papan iklan dan BN memfailkan tujuh dokumen termasuk senarai isu yang akan dibicarakan berkaitan kes saman RM546 juta syarikat itu terhadap BN.

Syarikat Pentas Permata Sdn Bhd (PPSB) dan BN diperintahkan memfailkan antara lain ikatan dokumen yang dipersetujui kedua-dua pihak dan yang tidak dipersetujui, senarai saksi terlibat dan ikatan kes plaintif dan defendan.

Timbalan Pendaftar, Nur Yusliana Yusoff membuat arahan itu dalam kamarnya selepas kes itu disebut di hadapannya bagi pengurusan kes.

Peguam BN, Datuk Mohd Hafarizam Harun, memberitahu pemberita bahawa Nur Yusliana menetapkan 26 Jan untuk pengurusan kes akhir saman itu bagi menentukan tarikh perbicaraan.

Pada 7 Dis 2007, PPSB menfailkan saman terhadap BN kerana menamatkan perjanjian bertarikh 5 Jan 2006, untuk membekalkan dan mendirikan papan iklan luaran bagi BN untuk mempromosikan BN semasa pilihan raya umum.

Syarikat itu yang dilantik sebagai ejen untuk mendirikan papan iklan bagi BN, menamakan BN melalui pegawai amnya Datuk Yaakob Mohammad, sebagai defendan.

PPSB, dalam pernyataan tuntutannya, mendakwa mengikut perjanjian, BN berhak menamatkan perjanjian itu pada bila-bila masa dalam tempoh enam bulan daripada perjanjian itu ditandatangani tetapi BN telah mengeluarkan notis itu selepas enam bulan perjanjian ditandatangani.

Akibat itu, syarikat itu mendakwa telah mengalami kehilangan keuntungan sebanyak RM546,552,800 termasuk kos mendirikan papan-papan luaran, pendapatan tahun pertama dan kedua dan jumlah pendapatan sepanjang 10 tahun.

Syarikat itu mendakwa BN juga gagal untuk bekerjasama bagi memperoleh lokasi strategik dan menyokong permohonan syarikat itu untuk mendirikan papan-papan luaran itu.

Syarikat itu menuntut ganti rugi khas sebanyak RM546,552,800, ganti rugi am, kos, faedah dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

BN dalam pernyataan pembelaan mendakwa penamatan perjanjian itu adalah sah kerana PPSB gagal menunjukkan sebarang hasil daripada tugas yang sepatutnya dijalankan mengikut perjanjian itu.

BN mendakwa syarikat itu tidak pernah memintanya bagi menyokong permohonan syarikat itu untuk mendirikan papan luaran itu dan BN juga tidak bertanggungjawab untuk memperoleh lokasi strategik bagi membina papan luaran itu.

Ia berkata tindakan syarikat itu memfailkan saman terhadap BN adalah salah kerana yang sepatutnya disaman adalah pegawai amnya. BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Orang kito