Lagi artikel Utusan diadu kepada polis
Pemuda MIC menyeret seorang pengarang kanan Utusan Malaysia yang melabelkan India sebagai kaum yang suka buat kecoh dalam satu artikelnya semalam kepada polis hari ini.
Biro Integrasi Kaum parti itu membuat aduan polis terhadap Zaini Hassan berhubung artikelnya 'Alkisah India di India dan India di Malaysia' di balai polis Sentul, Kuala Lumpur pagi ini.
Artikel tersebut menceritakan betapa kelam-kabutnya kehidupan di India yang dianggap telah mendarah daging dalam kaum tersebut, termasuk India di negara ini.
"India tetap India. Orang India ialah masyarakat yang begitu unik. Jika kita sering tengok wayang Tamil atau Hindi, itulah budaya mereka. Kecoh, kecoh dan kecoh.
"Namun, kita di Malaysia pun ada orang India. Kecohnya pun lebih kurang sama. Mereka ini rata-ratanya terdiri daripada ahli-ahli profesional, peguam dan kini menjadi ahli politik.
"Di Malaysia hanya orang India yang pandai-pandai sahaja yang sering buat bising," artikel tersebut dipetik.
Penulis menceritakan pengalamannya berada di Hyderabad baru-baru ini sebelum mengecam tindakan pemimpin DAP dan juga ahli parlimen Ipoh Barat, N Kulasegaran, yang didakwanya mempertikaikan hak-hak Melayu.
Zaini kini berdepan tindakan saman oleh exco kerajaan Selangor, Teresa Kok berhubung artikelnya 'Azan, Jawi, Jais, UiTM dan ba-alif-ba-ya' yang mengulas isu azan - kontroversi yang menyeret ahli parlimen DAP itu dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), September tahun lalu.
sumber : malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan