Najib Tiba Di Bangkok
BANGKOK, 7 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Bangkok Isnin untuk lawatan rasmi pertamanya ke Thailand.
Ketibaan mereka di Terminal Udara Ibu Pejabat Tentera Udara Diraja Thai disambut oleh Timbalan Perdana Menteri Thailand Suthep Thugsuban.
Turut hadir ialah Duta Malaysia ke Thailand Datuk Husni Zai Yaacob dan beberapa menteri Kabinet Malaysia yang berada di sini untuk menghadiri Perundingan Tahunan Keempat antara kedua negara itu Selasa.
Mesyuarat esok dijangka membincangkan beberapa isu terutama kerjasama dalam keselamatan, termasuk keselamatan di sempadan dan isu merentas sempadan seperti penyeludupan manusia dan dadah serta maritim.
Selain itu, kedua-dua pihak kemungkinan besar akan membincangkan mengenai kerjasama masa depan dalam bidang pendidikan tinggi, belia dan sukan, serta mengenai projek landasan Singapura-Kunming, industri halal dan menghubungkan Pembangunan Selatan Thai dengan Koridor Ekonomi Pantai Timur dan Utara Malaysia.
Malaysia adalah rakan kongsi perdagangan keempat terbesar Thailand manakala Thailand adalah yang kelima, dengan jumlah keseluruhan dagangan antara dua negara pada 2008 ialah US$19.6 bilion.
Pada Rabu, Perdana Menteri Thai Abhisit Vejjajiva dan Najib akan melawat ke wilayah bergolak Narathiwat, lawatan pertama perdana menteri Malaysia ke wilayah sempadan Thailand itu.
Abhisit, dalam temubual dengan Bernama pada Isnin, berkata lawatan ke Narathiwat amat signifikan dan akan menghantar isyarat jelas bahawa kedua-dua negara mahu menyaksikan keamanan di wilayah itu dan berakhirnya keganasan di sana.
Kedua-dua pemimpin akan bersama-sama merasmikan penamaan semula jambatan kedua merentasi Sungai Golok iaitu "Friendship Bridge" yang menghubungkan Ban Buketa, Narathiwat dan Bukit Bunga, Kelantan.
Mereka turut dijadual melawat Institut Att Arkiah Islamiah, yang mempunyai lebih 4,000 penuntut dan kokurikulum dalam pengajian Islam dan mata pelajaran moden.
Selepas itu, Najib dan Rosmah akan melawat projek ekonomi kampung di Ban Rotunbatu di mana balu dan anak mereka yang terbunuh dalam konflik tinggal.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan