BTN Tidak Bersifat Perkauman : Tun Abdullah
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata kursus Biro Tata Negara (BTN) yang dianjurkan oleh Jabatan Perdana Menteri tidak bersifat perkauman.
"Tapi kalau ada mana-mana individu yang bersifat perkauman, itu saya tak tahu," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Kerja dan penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang Institut Kefahaman Malaysia (IKIM) 2009 di sini hari ini.
Abdullah berkata BTN bertujuan memupuk semangat patriotisme, membina sikap berteraskan nilai murni dan penghayatan cintakan negara dalam kalangan warga negara.
Isu mengenai BTN timbul apabila kerajaan Selangor yang diterajui pakatan PKR, DAP dan Pas, melarang kakitangan kerajaan negeri dan pelajar daripada institusi pengajian milik kerajaan negeri daripada menghadiri kursus anjuran biro itu dengan mendakwa ianya bersifat perkauman dan cuba mempengaruhi peserta untuk menyokong Barisan Nasional.
"Tak usah kita riuh pasal perkara ini. Kita mahukan sesebuah institusi itu dapat diteruskan dengan niat yang baik untuk meningkatkan kesedaran mengenai programnya," kata Abdullah yang pernah menjadi menteri bertanggungjawab bagi BTN pada tahun 1981.
Bagaimanapun Abdullah menyambut baik rombakan kurikulum BTN yang dicadangkan kabinet minggu lepas agar selaras dengan konsep 1Malaysia. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan