Kawan-kawan dan sahabat handai....

Jumaat, Disember 11, 2009

Daulat Tuanku....Hari Keputeraan Ke-64 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah


Tuanku Muhriz Dahului Senarai Penerima Darjah Dan Bintang Kebesaran Selangor

SHAH ALAM, 11 Dis (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengetuai senarai 106 penerima darjah dan bintang kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraan Ke-64 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah esok.

Tuanku Muhriz menerima Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K.) sementara adinda Sultan, Tengku Ahmad Shah pula menerima Darjah Kerabat Selangor Kedua (D.K.II).

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerima Darjah Kelas Pertama -- Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran "Datuk Seri".

Turut menerima darjah kebesaran S.P.M.S. ialah Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Arshad Ayub.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu akan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang pada Sabtu.

Anakanda baginda, Tengku Zatashah dan Pengerusi Ranhill Bhd Tan Sri Dr Sallehuddin Mohamed masing-masing menerima Darjah Kebesaran Datuk Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.) (Kelas Pertama) yang membawa gelaran "Datuk Setia" bagi lelaki dan "Datin Paduka Setia" bagi wanita.

Seramai 14 penerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) (Kelas Kedua) yang membawa gelaran "Datuk" bagi lelaki dan "Datin Paduka" bagi wanita, pula dibarisi oleh hakim Mahkamah Rayuan Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad, Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali;

Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Markas Tentera Darat, Kementerian Pertahanan Leftenan Jeneral Datuk Abdul Hadi Hussin; Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim; dan Timbalan Ketua Setiausaha I, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Nurmala Abd.Rahim.

Turut disenaraikan sebagai penerima D.P.M.S ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Abu Bakar Salleh; Profesor Kanan, Pengarah Pusat Bio-IT Selangor, Universiti Industri Selangor (UNISEL) Profesor Emeritus Dr Abdul Latip Ibrahim; Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Shah Alam Mazalan Md Noor; Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa Selangor Mohd Jaafar Mohd Atan;

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS) Abdul Rahman Ahmad, Naib Presiden Eksekutif Sime Darby Berhad Mohamed Ishak Abdul Hamid, Pengarah Urusan Ramly Food Processing Sdn Bhd Ramly Mokni, Pengasas Yayasan Paru-paru Malaysia Dr Zainudin Md Zin dan Consultant Obstetrician and Gynaecologist, Pantai Hospital Kuala Lumpur Dr Sundraledchimy Maheswaran.

Bagi penerima Darjah Kebesaran Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.)(Kelas Kedua) yang membawa gelaran "Datuk" bagi lelaki dan "Datin Paduka" bagi wanita, penerimanya ialah Datuk Penggawa Permatang Paduka Maha Bijaya Orang Besar Daerah Kuala Selangor Mohamad Yaacob Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha II, Kementerian Luar Negeri Zainol Abidin Omar;

Pengarah Kor Perkhidmatan Diraja Markas Tentera Darat Brigedier Jeneral Datuk Nordin Rahok; Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Markas Tentera Laut Laksamana Pertama Anuwar Mad Said, Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Jabatan Perdana Menteri Datuk Sabtu Awam@Awap, Pengarah Audit Selangor Ungku Arfah Ungku Md.Tahir, Ahli Majlis Agama Islam Selangor Profesor Dr Sidek Baba dan Pengarah Public Bank Berhad yang juga Ahli Lembaga Amanah Yayasan Seni Selangor Datuk Mohamed Ishak Mohamed Ariff.

Turut tersenarai ialah, Pegawai Daerah Kuala Langat Asmawi Kasbi, pengarah kumpulan muzik baroque klasik "Charivari Agreable" Dr Ng Kah Ming, pensyarah Fakulti Kejuruteraan UPM Profesor Madya Hajeedar Abdul Majid, Presiden Persatuan Alumni Brinsford Malaysia Anthony Reynolds Peter, Naib Presiden Eksekutif 1, Permodalan Nasional Berhad (PNB) Jamiah Abdul Hamid, Naib Presiden Majlis Kebajikan Masyarakat Kebangsaan Malaysia Khatijah Sulaiman@Sulieman, Pemerintah Negeri St-John Ambulans Malaysia, Selangor Yeo Kim Thong dan pengarah urusan Kembang Serantau Sdn Bhd (Kumpulan Zikay) Iszhar Ibrahim.

Seramai 13 orang pula menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (S.M.S.) iaitu Ketua Pembangunan Hartanah, Sime Darby Property Berhad Tengku Ab.Aziz Tengku Mahmud, Ketua Program dan Timbalan Pengarah INTAN, Kampus Bukit Kiara Dr Alauddin Sidal, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan UPM Profesor Dr Zulkifli Idrus, Timbalan Naib Canselor (Akademik) Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Profesor Dr Ibrahim Hussein, Dekan Fakulti Komunikasi dan Media UNISEL Profesor Dr Mohamad Ali Sekak dan Asisten Ketua Staf-Tadbir, Markas Tentera Laut, Kementerian Pertahanan Kapten Wah Yuen Mei.

Turut tersenarai ialah Kapten Mohd Zaman Ibrahim dari Cawangan Rancang dan Operasi (RANOP), Kementerian Pertahanan; Ketua Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor ACP Jamaluddin Abd.Majid; Pengurus Besar Jabatan Kewangan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Masut Martu; Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Selangor Mohd Daruddin Taib@Hasan; Timbalan Pendaftar UiTM Karim Kasnan dan penyanyi kumpulan nasyid Rabbani, Allahyarham Mohd Asri Ibrahim.

Seramai 13 orang menerima Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S), 18 orang menerima Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S), 19 menerima Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S) dan tujuh dianugerah Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C).

Sementara itu, baginda Sultan turut berkenan mengumumkan pelantikan lima Jaksa Pendamai dan seorang Pelukis DiRaja Selangor yang akan berkuatkuasa pada 1 Jan depan.

Bagaimanapun istiadat mengangkat sumpah jawatan serta pengurniaan surat tauliah pelantikan akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Orang kito