SHAH ALAM 1 Okt - Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Shah Alam merangkap Ketua Srikandi KEADILAN Selangor, Anizan Othman menggalakkan lebih ramai wanita muda minat menceburkan diri dalam bidang politik.
Menurut beliau beza KEADILAN dengan mana-mana parti politik yang lain, wanita muda mempunyai pilihan samada mahu menyertai Angkatan Muda KEADILAN atau berada di sayap Wanita.
Mereka yang berusia antara 18 hingga 40 tahun dikategorikan sebagai Srikandi. Srikandi juga mempunyai keutamaan dalam sayap Wanita sekiranya ada di antara mereka mempunyai potensi dan menunjukkan minat terhadap perjuangan parti.
Ini terbukti apabila ada ahli Srikandi dicalonkan bertanding dalam jawatan penting di peringkat Majlis Pimpinan Pusat dan Cabang terutama dalam sayap Wanita.
Anizan telah menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Ketua Wanita Cabang Shah Alam pada pemilihan 26 September lalu, manakala Timbalan Srikandi Selangor Suraini Taib akan bertanding Ketua Wanita Cabang Sg Besar pada 2 Oktober.
Ramai juga ahli Srikandi telah dilantik sebagai ahli jawatankuasa dalam MPP Zon masing-masing atau menjadi ketua PEBT.
"Ini adalah sebahagian dari proses pembelajaran bagi wanita muda untuk mengorak langkah lebih mantap bertapak dalam Parti Keadian Rakyat sejajar dengan tuntutan 30 peratus suara wanita dalam parti tersebut.
"Ini juga merupakan salah satu keistimewaan Parti Keadilan Rakyat yang tidak ada pada parti lain yang membuktikan wanita muda tidak dipandang remeh. Wanita muda bawah 40 tahun diberi kelebihan membuat pengundian tidak terhad kepada sayap wanita sahaja.
"Srikandi akan berusaha merealisasikan visi mereka iaitu menjadikan politik sebagai platform wanita muda menimba ilmu, berdaya dan mempunyai jati diri," kata Anizan.
Anizan turut memuji kepimpinan wanita dalam KEADILAN yang kebanyakan mereka mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik, mampu menerima kehadiran orang muda seadanya dan boleh bergandingan dengan orang lama demi kepentingan parti.
Tambah beliau, walaupun Srikandi tidak mempunyai perlembagaannya sendiri seperti AMK, namun pengalamannya sebagai Ketua Srikandi amat menyeronokkan kerana mendapat sokongan dan dorongan dari kepimpinan wanita seperti Ketua Wanita Pusat Zuraida Kamaruddin, Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Medan, Haniza Talha, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail serta Ketua Wanita Shah Alam, Dr Daroyah Alwi.
Katanya lagi, wanita muda masa kini harus melatih diri menerapkan nilai-nilai kasih sayang, saling menghormati, tolong menolong dan menjauhi hasad dengki dan sekiranya mereka seorang ibu hendaklah mendidik anak-anak daripada kecil lagi nilai-nilai murni dan akhlak yang baik seperti jauhi hobi mengumpat apatah lagi menfitnah dan mengadu domba.
"Tibalah masanya, tuduhan kepada orang Melayu khususnya wanita yang kaya dengan hasad dengki dan cemburu tidak berasas harus di tebus oleh generasi kini dengan sifat-sifat positif.
"Sekiranya sifat-sifat positif ini dapat diterapkan dari masa ke semasa reformasi yang diperjuangkan oleh Parti Keadilan Rakyat agak mudah dilaksanakan," kata beliau lagi.
Jelas Anizan, sejak kebelakangan akhir ini kes pembuangan bayi semakin menjadi-jadi. Anak muda pula dilihat seolah-olah hilang pertimbangan dan perikemanusian.Katanya, perkara sebegini boleh di kurangkan sekiranya semua pihak termasuk pemimpin bersama-sama mengambil inisiatif memberi pendidikan serta memupuk nilai dan akhlak murni kepada anak-anak sejak kecil lagi.
Arus kemodenan tidak dapat dihalang, kerana generasi moden banyak terdedah kepada pelbagai bentuk budaya melalui teknologi. Bagaimanapun, pemantauan harus dibuat terus menerus tanpa putus asa oleh semua pihak.
Kata Anizan lagi, pengalamannya bersama remaja dan belia selaku Ketua Srikandi Selangor, mendapati bahawa remaja dan belia yang terlibat dalam masalah sosial bukan semuanya datang dari keluarga yang tidak ada latar belakang agama atau keluarga yg bermasalah.
Justeru masyarakat tidak boleh sepenuhnya menuding jari kepada ibubapa dan keluarga.
Kebanyakan remaja bermasalah kata beliau, datang dari keluarga miskin dan tidak berkemampuan terutama mereka yg menamatkan zaman persekolahan awal.
Golongan ini dikenalpasti antara paling tinggi terjebak dalam masalah sosial. Anizan berkata perkara ini harus dipandang serius oleh semua pihak dalam usaha mengatasi isu remaja bermasalah agar mereka dapat mengisi kekosongan jiwa.