Kawan-kawan dan sahabat handai....

Selasa, April 13, 2010

Malaysia Tanggung Risiko Keselamatan Walaupun Khidmat Asiasoft Tamat

HULU SELANGOR 13 APR: Malaysia masih menanggung risiko berikutan golongan Zionis mempunyai akses kepada maklumat keselamatan milik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) walaupun kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) mendakwa sudah menghentikan khidmat syarikat berpangkalan di Israel itu.

Secara tegas dan lantang, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kehadiran pakar Zionis dari syarikat Asiasoft Ltd untuk merombak sistem komputer di Bukit Aman sepatutnya tidak berlaku sama sekali.

Beliau menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan mengapa Asiasoft yang berpangkalan di Israel dibenar mengendalikan sistem komputer PDRM begitu lama walaupun ada laporan polis terhadap isu itu, dibuat sebelum itu.

“Asiasoft yang diambil membantu komunikasi polis di ibu pejabat PDRM, buat server komputer. Di mana syarikat Asisoft? Di Singapura. Di mana pangkalannya? Di Tel Aviv, Israel.

Apabila sudah heboh, dia (kerajaan Umno-BN) hentikan khidmat Asiasoft. Tapi, kita kena ingat, mereka sudah masuk dalam sistem kita. Kalau mereka hentikan pun, sebenarnya mereka sudah masuk dah,” katanya.

Anwar berucap demikian pada majlis penerangan di Kampung Selisik di Parlimen Hulu Selangor dengan merujuk tindakan polis menggunakan khidmat Asiasoft untuk merombak sistem komputer di Bukit Aman.

Susulan pendedahan berkenaan, KDN bingkas mengeluarkan kenyataan yang pihaknya sudah menamatkan khidmat Asiasoft tetapi mereka tetap mahu menyiasat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Bagaimanapun, Anwar berkata, beliau dan pimpinan Pakatan Rakyat akan terus lantang membantah tindakan umno—BN berurus dengan elemen Zionis yang melakukan pelbagai kekejaman ke atas rakyat Palestin.

"Saudara ingat tidak ada risiko? Saya bukan sekadar serang Israel tapi saya bongkar risikan Israel di Asia Tenggara. Ingat tidak ada risiko? Saya makan pun kena jaga. Saya buat perjalanan, kena jaga.

"Sebab, Israel ini boleh cari orang Hamas di hotel di Dubai. Mereka boleh tembak di negeri orang," kata Anwar dengan nada tegas.

Mengenai pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini, Anwar berharap pengundi menilai kesungguhan Pakatan Rakyat dalam mengagihkan khazanah negeri secara adil berbanding sepanjang 50 tahun pemerintahan BN.

“Pasal apa dua tahun kita perintah, boleh cari wang RM20 juta. (Elaun) guru agama naik kepada RM60,000. Pinjaman kecil orang berniaga RM50 juta. Ini usaha kerajaan Selangor, saya tidak cakap lagi pasal kerajaan Persekutuan," katanya.

Pada majlis itu, Anwar turut menyingkap hubungan persaudaraan yang semakin erat antara PKR, DAP dan PAS dalam mendukung perjuangan rakyat.

Beliau berkata, isu yang dibawa pimpinan parti berkenaan dalam Parlimen akan disokong oleh parti komponen lain.

“Ahli Parlimen Machang persoal kenapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tambah ruang judi. Kita ingat kita akan bergaduh sama-sama PKR dengan PAS. Tiba-tiba bangun Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke Siew Fook bantah pertambahan lesen judi.

"Saya kata, aihhh, ini sudah terbalik," kata Anwar seakan-akan bernyanyi.

Sebelum mengakhiri ucapannya, Anwar berkata beliau akan tetap tabah menghadapi cubaan untuk dikenakan tindakan displin berikutan membuat pelbagai pendedahan di Parlimen.

Sumber: TV Selangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Orang kito