PENGKALAN CHEPA, 14 Jan: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra petang ini penuh sesak dengan kebanjiran orang ramai bagi menyambut keberangkatan pulang Pemangku Raja, Tengku Mohammad Faris Petra.
Turut kelihatan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, timbalannya, Datuk Ahmad Yakob, Speaker Dun, Nasuruddin Daud, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.
Pengelola Istana D’raja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad bersama pegawai kanan istana juga kelihatan.
Dianggarkan lebih 2,000 berhimpun di terminal tersebut yang terdiri pelbagai lapisan rakyat. Turut kelihatan masyarakat Cina, India dan Siam.
Alim ulama termasuk pelajar pondok yang berpakaian jubah putih juga ramai. Anggota pasukan keselamatan yang diketuai Ketua Polis Kelantan, Datuk Rahim Hanafi mengawal keadaan.
Suasana agak tenang biar pun kesesakan berlaku di luar dan dalam bangunan terminal.
Turut dilihat banyak sepanduk yang bertulis ‘Rakyat Menjunjung Kasih dan Taat Setia Kepada Pemangku Raja’.
Ada juga sepanduk ‘Daulat Tuanku’ yang bertulis lambang Umno.
Difahamkan, sebaik tiba Pemangku Raja dijangka bertitah kepada orang ramai yang hadir menyambut keberangkatan baginda.
Pentas khas disediakan di luar bangunan terminal.
Orang ramai mulai tiba di lapangan terbang tersebut kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Sehingga jam 4 petang pesawat sewa khas yang membawa baginda belum lagi mendarat.
Dan malam ini dijangka diadakan solat hajat dan bacaan Yassin bertempat di Stadium Sultan Mohammad ke-IV yang akan turut dihadiri baginda.
sumber:harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan