Umno gelabah bila dibicarakan mahkamah rakyat
KUALA LUMPUR, 10 Jan: Umno tidak lagi dipercayai apabila mahkamah rakyat membicarakannya berikutan serangan ke atas beberapa gereja akibat provokasi dan eksploitasi isu penggunaan nama Allah oleh majalah mingguan Katolik, Herald, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Beliau menyifatkan reaksi marah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berhadapan dengan persoalan yang berbangkit akibat serangan-serangan itu membuktikan betapa menggelabahnya beliau menghadapi rakyat.
Najib menuntut supaya jangan menuding jari kepada Umno berikutan serangan ke atas gereja-gereja itu sejak Jumaat lalu.
"Saya menyifatkan kenyataan tersebut menggambarkan betapa Perdana Menteri menyedari bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) sedang dibicarakan oleh mahkamah rakyat dan meletakkan parti dan pimpinan Umno di kandang orang salah.
"Perbicaraan dimahkamah rakyat menggambarkan Umno sudah tidak mendapat kepercayaan rakyat lagi," kata Mahfuz.
Beliau mengingatkan Najib pepatah Melayu yang berbunyi 'siapa yang menanam dialah yang menuai hasilnya'.
"Kepada Perdana Menteri, ingin saya nyatakan bahawa (tindakan) rakyat menuding jari kepada Umno dan pemimpinnya adalah berasaskan perangai pemimpin Umno yang perkauman," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Najib, kata Mahfuz, perlu mengimbas kembali peristiwa 22 tahun lalu yang melibatkan beliau sendiri sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan membawa kepada penyalahgunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) melalui Operasi Lallang.
Para pemimpin pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dimangsakan oleh politik jahat Umno di dalam operasi itu, katanya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula berkata, kerajaan tidak menghalang rakyat untuk menyuarakan pendapat berhubung penggunaan kalimah Allah oleh majalah itu sebagai mengulas rancangan beberapa pertubuhan untuk mengadakan demonstrasi.
Mahfuz merujuk kepada kenyataan-kenyataan tersebut ketika mempertikaikan keikhlasan Umno dalam menyelesaikan isu penggunaan kalimah Allah.
"Umno ingat dia boleh menggunakan isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian untuk tujuan politik murahan, tetapi jelas senjata makan tuan dan rakyat tidak lagi mempercayai Umno.
"Inilah petanda Umno dan BN telah kehabisan dan kehilangan hak untuk memerintah negara," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat berbilang kaum dan agama agar bersama-sama dengan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) untuk ‘memuziumkan’ Umno dan BN dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.
Kepada parti-parti kompenan BN, beliau menyeru mereka "menyingkir Umno dari BN atau meninggalkan BN untuk bersama-sama PR membawa wajah baru politik Malaysia".
sumber:harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan