Pembubaran Cabang PKR Kuala Selangor Satu Tamparan Hebat - Rais
KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menyifatkan pembubaran cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Selangor, yang dipimpin oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sebagai satu tamparan hebat kepada parti itu ekoran rakyat hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau.
Rais berkata jika mengikut lunas demokrasi, Khalid sepatutnya mengundur diri dan mengakui kegagalannya memimpin cabangnya sendiri.
"Tetapi sama ada Menteri Besar Selangor sekarang sanggup berbuat demikian adalah soal fakta, dan soal pendirian beliau, tapi kepada rakyat, sudah jelas bahawa beliau tidak ada pilihan melainkan untuk menyatakan beliau telah dikalahkan oleh komponennya (cabangnya) sendiri dan anggota partinya serta rakyat setempat, " katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet di Angkasapuri di sini, hari ini.
Rais berkata pembubaran cabang PKR itu menunjukkan perubahan sikap rakyat termasuk rakyat sekitar Kuala Selangor yang sudah tidak menaruh kepercayaan terhadap parti itu.
Keputusan rakyat Kuala Selangor itu seharusnya menjadi iktibar kepada semua pemimpin kecil dan besar PKR yang kononnya rakyat mempercayai mereka, katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada rakyat Kuala Selangor yang telah membuat pilihan bijak dan menolak parti-parti politik yang tidak jujur dalam pimpinan.
Hari ini, Timbalan Ketua cabang itu, Arshad Abu Bakar memberitahu pemberita bahawa 11 anggota jawatankuasa PKR cabang Kuala Selangor, termasuk Ketua Pemuda dan Wanitanya telah meletakkan jawatan berikutan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdul Khalid.
Arshad berkata cabang itu telah bubar kerana kini hanya tinggal tiga pemimpin sahaja yang terdiri daripada beliau, Khalid serta seorang anggota jawatankuasanya Faridah Abdul Rahman.
Beliau berkata 11 AJK cabang serta Ketua Angkatan Muda, Nazarudin Darmawan, dan Ketua Wanita, Fauziah Sulaiman, meletak jawatan antara November tahun lepas dan 18 Jan tahun ini.- BERNAMA
komen: Yang sebenarnya bukan lumpuh tapi akan ada pemilihan pada bulan Mac ini, yang bercakap pun pemimpin umno, tak ke pelik? keadilan punya hal, umno yang komen, PAS punya hal umno yag komen, diorang ni siapa? keadilan atau pas atau umno...apa punya tur
depa kan pembangkakang kat selangor... ape depa tau
BalasPadam