Kawan-kawan dan sahabat handai....

Rabu, November 04, 2009

Sengketa dan pergolakan MCA makin parah........



Liow tolak tawaran sertai pelan perpaduan


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Liow Tiong Lai, pernah ditawarkan menjadi sebahagian daripada pelan perdamaian lebih menyeluruh oleh Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, tetapi beliau menolaknya, kata sumber dalaman parti itu.

Melalui pelan itu, Liow diberi ruang untuk mengekalkan kedudukan sebagai timbalan presiden, manakala Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pula akan dilantik sebagai setiausaha agung.

Bagaimanapun, Liow menolak pelan itu pada saat-saat akhir dan mengambil keputusan untuk terus membuat desakan supaya pemilihan baru diadakan bagi merungkai kebuntuan yang timbul hasil daripada mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 12 Oktober.



"Sejak beberapa hari lalu, Ong dan Liow mengadakan perbincangan melalui wakil masing-masing. Bagaimanapun, Liow tidak memberi sebarang keputusan.

"Ong menunggu di rumah beliau hingga tengah malam Isnin bersama wakilnya. Tapi, Liow tetap tidak muncul dan membuat keputusan untuk tidak menerima pelan perpaduan itu.

Sumber yang sama berkata, walaupun pelan perpaduan itu membabitkan semua pemimpin MCA, tetapi ditolak Liow dan kumpulannya.

Sumber yang sama, berkata dalam melaksanakan pelan itu dan bagi memenuhi selera kebanyakan kumpulan dalam parti berkenaan, tidak semua penyokong Dr Chua dilantik sebagai penyandang jawatan.

"Contohnya, tidak semua tiga ahli jawatankuasa pusat secara lantikan yang dilantik oleh Ong semalam adalah orang Dr Chua.

"Jika dilihat betul-betul, hanya anak lelakinya, Chua Tee Yong, adalah dari kem Dr Chua. Yang lain seperti Datuk Tan Chin Ming, sebenarnya lebih condong kepada bekas setiausaha agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan, manakala Datuk Donald Lim pula tidak memihak kepada sesiapa," kata sumber itu.

Bekas naib presiden MCA, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn, berkata walaupun tidak syak lagi keadaan yang wujud sekarang sungguh membimbangkan MCA, tetapi ahli parti itu perlu memberi peluang kepada Ong dan Dr Chua untuk bekerjasama dan melaksanakan pelan perpaduan yang lebih menyeluruh.

"Sama ada EGM diadakan atau tidak, yang penting, pelan itu perlu mendapat sokongan ahli perwakilan. Oleh itu, pada EGM akan datang, pelan itu perlu diluluskan oleh ahli perwakilan," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Orang kito