Kawan-kawan dan sahabat handai....

Jumaat, September 11, 2009

Samy 'bom hidrogen', Subra 'bom Nuklear', 1Malaysia 'bom C4'


Samy Vellu sedia ‘bom hidrogen’

santhy.muthalu@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 10 Sept. – Kurang dari 48 jam sahaja lagi sebelum pemilihan parti MIC Sabtu ini, Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu mendedahkan beliau mempunyai satu ‘bom hidrogen’ yang boleh membongkar rahsia Datuk S. Subramaniam dan menjatuhkan maruahnya di khalayak ramai.

Bagaimanapun, kata Samy Vellu, beliau tidak akan meletupkan bom hidrogen berkenaan kerana ia bukan tindakan baik untuk dilakukan oleh seseorang pemimpin ketika bakal menghadapi pemilihan parti.

Samy Vellu mendakwa, bekas Timbalan Presiden parti itu telah menyediakan beberapa butir ‘bom’ untuk menyerangnya demi kepentingan diri sendiri.

‘‘Setakat ini, satu ‘bom’ pun tidak pernah meletup.

‘‘Tetapi saya ada satu ‘bom hidrogen’ yang boleh membongkar rahsia beliau dan menjatuhkan maruahnya di khalayak ramai,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Subramaniam adalah salah seorang calon yang bakal merebut jawatan Timbalan Presiden MIC pada pemilihan parti Sabtu ini.

Sementara itu, Samy Vellu turut membidas tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencampuri urusan pemilihan jawatan tertinggi parti itu dengan mengeluarkan kenyataan yang didakwanya menjejaskan maruahnya.

Beliau menegaskan, Dr. Mahathir atau mana-mana pemimpin selain daripada MIC tidak berhak mencampuri urusan pemilihan jawatan tertinggi parti tersebut.

Menurut beliau, sekiranya bekas Perdana Menteri itu mempunyai masalah peribadi dengannya, ia harus diselesaikan secara baik.

‘‘Saya sangat menghormati beliau tetapi berasa sedih dengan tindakannya yang sengaja memberikan gambaran buruk terhadap diri saya.

‘‘Ini (mencampuri urusan pemilihan MIC) bukan tindakan baik yang boleh dilakukan oleh seorang pemimpin yang kini disanjung tinggi oleh semua lapisan masyarakat di negara ini,’’ katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Dr. Mahathir dalam akhbar berbahasa Tamil, Makkal Osai yang berbunyi ‘Samy Vellu tidak membuat apa-apa untuk golongan kaum India di negara ini’.

Dr. Mahathir juga berkata, kaum India tidak wajar menyokong Samy Vellu lagi dan harus memilih calon yang berkaliber seperti Datuk S. Subramaniam yang bakal bertanding bagi jawatan timbalan presiden.

Samy Vellu menjelaskan, beliau telah melakukan yang terbaik kepada masyarakat India dan tidak pernah takut untuk menyuarakan pendapatnya ketika berada dalam Kabinet.

‘‘Dr. Mahathir pernah menghadiri Persidangan MIC Kebangsaan sebanyak 28 kali, kami pernah meminta beberapa peruntukan dan permintaan untuk kesejahteraan kaum India.

‘‘Tetapi satu pun tidak pernah diambil kira atau dipertimbangkan olehnya, ketika beliau menyandang jawatan Perdana Menteri,’’ dakwanya.


Saya ada 'bom nuklear' - Subramaniam


KUALA LUMPUR 10 Sept. - Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam berkata, beliau tidak gentar dengan kenyataan Datuk Seri S. Samy Vellu yang mendakwa mempunyai 'bom hidrogen' yang boleh membongkar rahsia dan menjatuhkan maruahnya.

Beliau mendakwa, ia adalah cara Presiden MIC tersebut untuk menakutkan calon dan perwakilan dengan mereka-reka pelbagai cerita yang tidak betul.

''Kalau beliau ada 'bom hidrogen', saya pula mempunyai 'bom nuklear' yang boleh menghancurkan nama dan karier beliau.

''Tetapi ini bukan cara saya. Saya suka keamanan tetapi beliau mengamalkan cara kekerasan dan keganasan dalam memerintah partinya,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Samy Vellu hari ini yang mendakwa Subramaniam telah menyediakan beberapa butir 'bom' untuk menyerangnya demi kepentingan diri sendiri.

Bagaimanapun, kata Samy Vellu, setakat ini satu 'bom' pun tidak pernah meletup.

Sebaliknya, katanya, beliau mempunyai sebutir 'bom hidrogen' yang boleh membongkarkan rahsia Subramaniam dan menjatuhkan maruahnya di khalayak ramai.

Subramaniam adalah salah seorang calon yang bakal merebut jawatan Timbalan Presiden MIC pada pemilihan parti Sabtu ini.

Tambah Subramaniam, Samy Vellu mengamalkan beberapa taktik untuk mencemarkan nama baiknya serta menakutkan perwakilan.

''Saya tidak akan takut. Saya juga berharap perwakilan tidak akan 'tertarik' dengan taktik beliau itu,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Orang kito