Kawan-kawan dan sahabat handai....

Jumaat, November 13, 2009

bukan durian runtuh tapi lagi berita runtuh....



Penghadang Pendingin Hawa ITC Di Kemaman Runtuh

KEMAMAN, 12 Nov (Bernama) -- Beberapa penghadang alat pendingin hawa Pusat Latihan Antarabangsa (ITC) di Teluk Kalong di sini runtuh dan menimpa bumbung sebuah lagi bangunan berhampiran dalam kejadian malam tadi.

Menurut seorang pengawal keselamatan di situ, kejadian berlaku dikatakan berpunca daripada tiupan angin kencang dari Laut China Selatan pada musim tengkujuh sekarang.

"Ia berlaku malam tadi dan hanya disedari pagi ini apabila beberapa serpihan besi penghadang jatuh di atas bumbung bangunan yang berdekatan," katanya yang enggan dikenali.

Katanya kejadian itu tidak menimbulkan kerosakan yang serius di mana hanya beberapa keping besi penghadang sahaja yang jatuh.

Semalam Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said mengumumkan ITC yang menelan belanja kira-kira RM50 juta akan diserahkan kepada Kolej Universiti Institut Teknikal Tinggi Terengganu (TATiUC) dan akan dijadikan fakulti baru iaitu Fakulti Pengajian Siswazah serta Fakulti Kewangan dan Perniagaan TATiUC.

Difahamkan ITC berkenaan yang berkonsepkan Harvard Business School di Amerika Syarikat, mempunyai semua kelengkapan meliputi kemudahan internet tanpa wayar di setiap bilik kuliah.

Ahmad ketika ditemui pada majlis pecah tanah rumah mampu milik di Seberang Takir di sini hari ini enggan mengulas lanjut kerana beliau masih belum menerima sebarang maklumat berhubung kejadian itu daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Kejadian kali ini merupakan rentetan 'runtuhan' beberapa struktur bangunan termasuk bangunan kerajaan di negeri ini.

Pada 3 Okt lalu, struktur bumbung bahagian hadapan Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, yang sedang dibaiki runtuh menyebabkan seorang buruh cedera parah manakala dua rakannya mengalami cedera ringan.

Sebelum itu, kejadian bumbung runtuh turut berlaku di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak pada 2 Jun lalu. Selain itu, beberapa siling di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) tertanggal pada Julai tidak beberapa lama selepas runtuhan bumbung di stadium berkenaan berlaku.

-- BERNAMA

komen: Inilah kalau duit rakyat yang tak berkat...hampir semua yang dibuat untuk sukma semuanya nak runtuh...sana sini berita runtuh di Terengganu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Orang kito