Kawan-kawan dan sahabat handai....

Jumaat, Oktober 01, 2010

Anizan Seru Wanita Muda Cebur Politik


SHAH ALAM 1 Okt - Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Shah Alam merangkap Ketua Srikandi KEADILAN Selangor, Anizan Othman menggalakkan lebih ramai wanita muda minat menceburkan diri dalam bidang politik. 
Menurut beliau beza KEADILAN dengan mana-mana parti politik yang lain, wanita muda mempunyai pilihan samada mahu menyertai Angkatan Muda KEADILAN atau berada di sayap Wanita.
Mereka yang berusia antara 18 hingga 40 tahun dikategorikan sebagai Srikandi. Srikandi juga mempunyai keutamaan dalam sayap Wanita sekiranya ada di antara mereka mempunyai potensi dan menunjukkan minat terhadap perjuangan parti.
Ini terbukti apabila ada ahli Srikandi dicalonkan bertanding dalam jawatan penting di peringkat Majlis Pimpinan Pusat dan Cabang terutama dalam sayap Wanita.
Anizan telah menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Ketua Wanita Cabang Shah Alam pada pemilihan 26 September lalu, manakala Timbalan Srikandi Selangor Suraini Taib akan bertanding Ketua Wanita Cabang Sg Besar pada 2 Oktober.  
Ramai juga ahli Srikandi telah dilantik sebagai ahli jawatankuasa dalam MPP Zon masing-masing atau menjadi ketua PEBT. 
"Ini adalah sebahagian dari proses pembelajaran bagi wanita muda untuk mengorak langkah lebih mantap bertapak dalam Parti Keadian Rakyat sejajar dengan tuntutan 30 peratus suara wanita dalam parti tersebut. 
"Ini juga merupakan salah satu keistimewaan Parti Keadilan Rakyat yang tidak ada pada parti lain yang membuktikan wanita muda tidak dipandang remeh. Wanita muda bawah 40 tahun diberi kelebihan membuat pengundian tidak terhad kepada sayap wanita sahaja. 
"Srikandi akan berusaha merealisasikan visi mereka iaitu menjadikan politik sebagai platform wanita muda menimba ilmu, berdaya dan mempunyai jati diri," kata Anizan.
Anizan turut memuji kepimpinan wanita dalam KEADILAN yang kebanyakan mereka mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik, mampu menerima kehadiran orang muda seadanya dan boleh bergandingan dengan orang lama demi kepentingan parti. 
Tambah beliau, walaupun Srikandi tidak mempunyai perlembagaannya sendiri seperti AMK, namun pengalamannya sebagai Ketua Srikandi amat menyeronokkan kerana mendapat sokongan dan dorongan dari kepimpinan wanita seperti Ketua Wanita Pusat Zuraida Kamaruddin, Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Medan, Haniza Talha, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail serta Ketua Wanita Shah Alam, Dr Daroyah Alwi.
Katanya lagi, wanita muda masa kini harus melatih diri menerapkan nilai-nilai kasih sayang, saling menghormati, tolong menolong dan menjauhi hasad dengki dan sekiranya mereka seorang ibu hendaklah mendidik anak-anak daripada kecil lagi nilai-nilai murni dan akhlak yang baik seperti jauhi hobi mengumpat apatah lagi menfitnah dan mengadu domba. 
"Tibalah masanya, tuduhan kepada orang Melayu khususnya wanita yang kaya dengan hasad dengki dan cemburu tidak berasas harus di tebus oleh generasi kini dengan sifat-sifat positif. 
"Sekiranya sifat-sifat positif ini dapat diterapkan dari masa ke semasa reformasi yang diperjuangkan oleh Parti Keadilan Rakyat agak mudah dilaksanakan," kata beliau lagi.
Jelas Anizan, sejak kebelakangan akhir ini kes pembuangan bayi semakin menjadi-jadi. Anak muda pula dilihat seolah-olah hilang pertimbangan dan perikemanusian.Katanya, perkara sebegini boleh di kurangkan sekiranya semua pihak termasuk pemimpin bersama-sama mengambil inisiatif memberi pendidikan serta memupuk nilai dan akhlak murni kepada anak-anak sejak kecil lagi. 
Arus kemodenan tidak dapat dihalang, kerana generasi moden banyak terdedah kepada pelbagai bentuk budaya melalui teknologi.  Bagaimanapun, pemantauan harus dibuat terus menerus tanpa putus asa oleh semua pihak.
Kata Anizan lagi, pengalamannya bersama remaja dan belia selaku Ketua Srikandi Selangor, mendapati bahawa remaja dan belia yang terlibat dalam masalah sosial bukan semuanya datang dari keluarga yang tidak ada latar belakang agama atau keluarga yg bermasalah.
Justeru masyarakat tidak boleh sepenuhnya menuding jari kepada ibubapa dan keluarga. 
Kebanyakan remaja bermasalah kata beliau, datang dari keluarga miskin dan tidak berkemampuan terutama mereka yg menamatkan zaman persekolahan awal.
Golongan ini dikenalpasti antara paling tinggi terjebak dalam masalah sosial.  Anizan berkata perkara ini harus dipandang serius oleh semua pihak dalam usaha mengatasi isu remaja bermasalah agar mereka dapat mengisi kekosongan jiwa.

Khamis, September 30, 2010

Mahathir Momokkan Orang Melayu Kerana Umnoputra Takut Hilang Kuasa


SHAH ALAM 30 Sept - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memomok-momokkan kononnya masyarakat Melayu akan kehilangan kuasa jika Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan Pakatan Rakyat menubuhkan Kerajaan Pusat sebenarnya menyerlahkan ketakutan golongan elit Umnoputra kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail yang menyanggah dakwaan Dr Mahathir itu berkata kenyataan beliau amat tidak tepat dan malah berunsur ugutan kerana yang mengkhianati umat Melayu dan Islam adalah Umno itu sendiri.
"Ini terbukti dalam kes Perlembagaan membabitkan Raja-Raja Melayu dan penarikan bantuan sekolah-sekolah agama.
"Ia juga terbukti dalam pengagihan peluang perniagaan, permit AP dan saham yang hanya tertumpu kepada golongan elit pemerintah Umno sahaja dan bukan rakyat terbanyak," tegas beliau kepada Suara Keadilan.
Tambahnya lagi, ini berpunca daripada kegagalan Umno untuk mengekalkan kerjasama baik di antara kaum yang akhirnya melemahkan tapak sokongan  Melayu.
"Tohmahan beliau ini adalah tohmahan daripada seorang yang mempunyai hati yang sangat busuk, berbaur kebencian yang tidak terubat bila melihat kejayaan KEADILAN dan PAS khususnya dalam mendekati masyarakat Melayu," ujar Saifuddin lagi.
Minggu lalu, Dr Mahathir mengingatkan orang Melayu bakal kehilangan kuasa dan suara jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negara ini.
Bekas Perdana Menteri itu turut menuduh PAS yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi mereka sebenarnya menggunakan Islam sebagai alat untuk mendapat sokongan.
Dr Mahathir juga menuduh KEADILAN bukannya untuk memperjuangkan orang Melayu tetapi lebih kepada untuk merealisasikan cita-cita peribadi seseorang pemimpin mereka untuk menjadi Perdana Menteri.

Tolong Jangan Bandingkan KEADILAN Dan Umno


Oleh Dr Lee Boon Chye
KEADILAN kebingungan dengan keluhan Zaid Ibrahim yang tidak habis-habis kepada pihak akhbar tentang parti dan pemilihan parti yang sedang berlangsung, termasuklah wawancara eksklusif dengan Utusan Malaysia yang pernah disebut beliau sebagai akhbar Gestapo.
Apakah beliau lupa bahawa dirinya merupakan subjek kempen kotor Utusan, selama pilihan raya kecil Hulu Selangor dulu? Apakah beliau lupa serangan bertubi-tubi Utusan terhadap Pakatan Rakyat yang menyebabkan Pakatan tidak mengendahkan akhbar tersebut?
Zaid turut membuat sindiran kasar bahawa sesetengah pemimpin termasuk Tian Chua dan Gobalakrishnan telah dihalang daripada bertanding jawatan cabang KEADILAN, bilamana mereka bebas bertanding dan berkempen sesuka mereka. 
Hakikatnya, Tian Chua telah menang jawatan ketua cabang di Batu dan Gobalakrishnan pula akan bertanding untuk jawatan ketua cabang di Padang Serai. Demikian juga, tiada siapa yang mencegah Zaid untuk tidak mencalonkan diri beliau bagi apa jua jawatan, termasuklah jawatan Presiden Parti.
Selanjutnya, kita juga hairan bahawa beliau seringkali membandingkan KEADILAN dengan Umno. 
Walhal tidak ada tolok bandingnya apabila KEADILAN mengemukakan segala pendirian-pendirian yang tidak dipegang Umno. Beliau mesti berhenti melakonkan watak “mangsa” untuk meraih simpati dengan cara menjejaskan parti.
Daripada mengeluh secara terbuka tentang pemilihan dan merosakkan parti, beliau seharusnya membuat aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) bersama perincian yang tepat dari membuat kenyataan meluru berlakunya konspirasi dan taktik curang.
Kita juga bingung dengan kenyataan Zaid bahawa parti ini menghalang "agenda reformasinya" sedangkan keputusan parti selalu dibuat secara kolektif  bagi menambah dasar-dasar parti yang progresif dan berteraskan reformasi.  Zaid seharusnya mengemukakan “agenda reformasi” beliau tersebut dan patut membentangkannya menerusi pembuatan keputusan parti yang biasa dari memberi petikan-petikan ringkas kepada media massa.
Sebagai ketua KEADILAN Wilayah Persekutuan, dan juga sebagai ahli kepada Majlis pimpinan pusat (MPP) dan Biro Politik, Zaid berada di peringkat tertinggi proses pembuatan keputusan parti. Maka beliau mempunyai lebih dari peluang biasa untuk memberi pandangan beliau. 
Zaid harus mengakui bahawa beliau sebahagian daripada kepimpinan parti. Maka, beliau tidak dapat mengelakkan daripada tanggungjawab bersama yang termaktub itu dan mestilah menghormati pembuatan keputusan parti.
 KEADILAN ingin menasihati beliau untuk menilai semula apa yang telah dicapai oleh sebagai agen reformasi di negara ini termasuk termasuklah pemilihan parti yang menempa sejarah ini yang telah memberi kuasa mengundi yang sama kepada setiap anggota parti tanpa mengira jawatan mereka dan ini merupakan bukti komitmen kami terhadap reformasi.
Dalam ketika kesengitan pemilihan parti, janganlah kita lupa siapa lawan kita yang sebenarnya - Umno-BN. Dan kami yakin bahawa KEADILAN hanya akan menjadi lebih kuat selepas pemilihan parti yang bersejarah ini.
Penulis ialah Ahli Parlimen Gopeng dan Naib Presiden KEADILAN.

Orang kito