Kawan-kawan dan sahabat handai....

Rabu, November 25, 2009

Bila sudu lebih dari kuah.......


Tindakan beria-ria Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendapatkan perintah pergantungan sementara(interim stay order) daripada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi semalam, mengenai kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh, Kedah adalah suatu perkara yang cukup pelik lagi 'tidak masuk akal' untuk kita fikirkan bersama apatah lagi di era negara kini yang selalu di dakwa 'hebat serba serbi'.

Semalam, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusannya pada 16 November lalu, bahawa kerusi DUN Kota Siputeh kosong dan pilihan raya kecil kawasan itu perlu diadakan. Panel tiga orang hakim Mahkamah Rayuan, terdiri Datuk Sulong Matjeraie, Datuk Kang Hwee Gee dan Datuk Abdul Aziz Rahim telah memutuskan bahawa wujud 'keadaan khas' untuk menangguhkan sementara keputusan untuk mengadakan pilihan raya kecil kepada suruhanjaya itu dengan alasan yang kadang-kala di 'luar dugaan' kita!
Hakim Datuk Sulong Matjeraie antara lain berkata selepas hampir dua jam panel tiga hakim itu mendengar permohonan yang difailkan oleh suruhanjaya itu;

"Kebenaran penghakiman yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi perlu diuji di mahkamah lebih tinggi,".

Dalam penghakiman yang dibacakan pada pukul 7.24 malam, Hakim Sulong berkata mereka telah bersetuju sebulat suara bahawa tidak ada pihak akan mengalami akibat dan prasangka jika perintah penangguhan itu dibenarkan.

Beliau berkata keputusan tersebut dibuat bagi mengelakkan pilihan raya kecil yang tidak sepatutnya berlaku dan "pembaziran dana awam".

Apa yang memelikkan kita ialah kenapa SPR yang sepatutnya bertindak sebagai pihak yang menguruskan pilihanraya secara adil dan saksama boleh bertindak sedemikian dan seterusnya cuba menggagalkan usaha kearah piihanraya kecil yang baru ini?

Malahan juga pihak SPR seharusnya bertindak tegas keatas kes Wakil Rakyat yang cuba tidak hadir atau ponteng dalam sidang DUN Kedah ini sebagai satu perbuatan yang serius dan tidak sewajarnya berlaku.

Tetapi rakyat kini melihat seolah-olah SPR cuba semaksima mungkin mahu mempertahankan "kaki ponteng" dan yang selalu "tuang" (ponteng dalam loghat Kedah)dan SPR juga dilihat oleh rakyat sebagai penghalang utama untuk mereka membuat pilihan yang tepat siapakah yang akan mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri Kedah agaknya?

Sesungguhnya kita amat menghormati keputusan yang dibuat oleh badan perundangan ini yang kadang kala kita melihatkan suatu keputusan yang "teramat pantas dan cepat" sekiranya kes mahkamah ini berkait rapat dengan kepentingan Umno / BN. Namun sekiranya kes ini berkait dengan Pakatan Rakyat sudah pasti ianya mengambil masa yang lama untuk diselesaikan sebagaimana kes Neger Perak yang masih tidak selesai sehingga kini.

Kepada SPR sebagai badan yang mengendalikan pilihanraya sepatutnya badan ini secara jujur dan telusnya hanya perlu mengikut segala yang diperuntukan dibawahnya dan bukan sebagai "penghalang" dengan membawa alasan pembaziran dana awam kononnya?

Alasan pembaziran dana awam ini hanyalah sebagai satu lakonan baru yang didalangi oleh Umno / BN sahaja bagi menutup 'ketakutan' mereka daripada terus untuk bertanding dan seterusnya berhadapan dengan PR didalam pilihanraya kecil ini.

Siapa yang tidak kenal Umno / BN yang setiap kali diadakan pilihanraya samada umum atau kecil sudah pasti akan menggunakan sebanyak mungkin apa yang dikatakan sebagai 'dana awam' itu berbanding dipihak pembangkang yang sememangnya tidak mempunyai kewangan yang kukuh sebagaimana Umno / BN.

Satu persoalan kepada Umno / BN ialah, kenapa anda perlu takut untuk menghadapi PR sedangkan ketika kemenangan Umno di PRK Bagan Pinang bulan lepas, satu dunia telah dicanangkan oleh pimpinan Umno / BN mengatakan parti anda telah kuat dan di terima rakyat!

Dengan keputusan yang dicapai semalam telah menguatkan lagi 'pandangan' rakyat akan ketidak telusan kerajaan untuk 'membebaskan' agensi dan badan tertentu seperti SPR dan mahkamah daripada mengikut telunjuk pemerintah didalam membuat sesuatu keputusan penting melibatkan rakyat.

Kita tidak mahu suatu hari nanti orang akan berkata SPR ini sebagai badan 'penghalang' pilihanraya dan bukannya sebagai pihak pengelola pilihanraya lagi. Sama-samalah kita memikirkannya demi kebaikan bersama.

sumber : ingeniur.blogspot.com

1 ulasan:

Orang kito