Ku Li Timbang Pelawaan Jadi Pengerusi Kaukus Royalti Minyak
KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah akan menimbang pelawaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantiknya sebagai pengerusi kaukus mengenai royalti minyak Kelantan.
Tengku Razaleigh yang terbabit sejak awal penubuhan Petronas itu berkata, buat masa ini beliau memerlukan masa untuk memikirkan mengenai tawaran tersebut.
"Terlebih dulu saya akan mengikut perkembangan dan tengok sama ada saya boleh menyumbang kerana sebelum ini saya sudah terbabit dengan penubuhan Petronas, memahami kandungan perjanjian, merangka undang-undang berkaitan dengannya. Jadi mungkin saya boleh membantu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.
Razaleigh yang juga Anggota Parlimen Gua Musang berkata demikian ketika diminta mengulas pelawaan Anwar baru-baru ini untuk mempengerusikan kaukus mengenai royalti minyak di Kelantan.
Mengenai pertikaian wang ihsan hasil daripada pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu, Tengku Razaleigh berkata perkara itu tidak perlu timbul kerana ia adalah hak rakyat, iaitu tempat di mana minyak itu dijumpai.
-BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan