Kawan-kawan dan sahabat handai....

Jumaat, Februari 12, 2010

Tindakan Zahrain Tidak Jejas Pakatan Rakyat

 Pemimpin Pakatan Rakyat melahirkan rasa tidak terkejut di atas tindakan Ahli Parlimen KEADILAN Bayan Baru keluar parti hari ini.

Malah ramai daripada mereka telah menjangkakan Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim akan bertindak demikian melihat kepada kenyataan yang bertentangan dengan prinsip dan semangat muafakat Pakatan Rakyat sejak dua minggu lalu.

Beliau mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat dalam satu sidang akhbar di Petaling Jaya.

Beliau merupakan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat pertama keluar parti sejak Pilihan Raya Umum 2008.

Alasan yang diberikan beliau ialah kerana hilang kepercayaan kepada kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mansor Othman dalam reaksinya kepada Suara Keadilan berkata tindakan yang diambil Zahrain tidak mengejutkan beliau.

"Kita sudah menjangkakan tindakan beliau itu dan kita tidak menangisi keputusan beliau itu. Sememangnya tindakan beliau kebelakangan ini menunjukkan dia mahu kita mengambil tindakan terhadap beliau.

Mansor menegaskan kerajaaan negeri akan membuat 'roadshow' dan turun ke padang menemui rakyat bagi menerangkan kedudukan sebenar isu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Abdul Malek Abdul Kasim pula berkata Zahrain telah menikam sahabat lama beliau Datuk Seri Anwar Ibrahim dari belakang.

"Saya mengenali Zahrain sejak lewat tahun 70an dan kami bertambah rapat apabila bersama dalam Pakatan Rakyat.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan beliau itu kerana memilih masa ketika sahabat baik beliau, Anwar yang beliau kenali hampir 40 tahun sedang menghadapi cabaran paling getir ketika ini.

"Ianya tindakan menikam kawan dari belakang. Isu yang digunakan beliau adalah isu yang amat kecil iaitu isu persepsi yang boleh diselesaikan dalam rangka struktur Pakatan Rakyat," kata Abdul Malik .

Jelas beliau Zahrain gagal menggunakan pendekatan perbincangan secara sepenuhnya tetapi memilih untuk mengembar-gemburkan isu yang beliau utarakan ke tahap besar.

"Saya melihat ini satu usaha Umno dan BN untuk menggoncang kestabilan negeri Pakatan Rakyat satu persatu.

"Kita lihat di Pulau Pinang, Zahrain dan Tan Tee Beng telah membuka pintu pada usaha UMNO dan BN untuk melemahkan kerajaan negeri," tegas Exco itu.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tang berkata walaupun kesal dengan tindakan Zahrain, Pakatan Rakyat akan terus untuk memantapkan kerjasama demi perjuangan untuk rakyat.

"Kami kesal keputusan beliau tetapi mungkin keputusan beliau ini membuka peluang kepada Pakatan Rakyat untuk memperkukuhkan kerjasama dan sama-sama berusaha keras ke arah merealisasikan mandat rakyat," tegasnya.

Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye ketika dihubungi berkata tindakan Zahrain tidak menjejas perjuangan Pakatan Rakyat.

"Perjuangan akan diteruskan dan keputusan beliau tidak akan memberi kesan kepada perjuangan KEADILAN.

"Saya percaya tidak ada gunanya menggekalkan dalam parti mereka yang pada hakikatnya telah hilang kepercayaan dan meninggalkan landasan perjuangan, apa gunanya mereka terus berada dalam parti?" ujar Dr Lee.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan Zahrain telah mengkhianati dan membelakangkan amanah yang telah diberikan oleh pengundi Bayan Baru.

"Ini adalah soal pengkhianatan kerana beliau bertanding di Bayan Baru atas tiket PKR bukannya atas nama Zahrain Hashim.

"Apabila dia keluar parti bermakna dia mengkhianati amanah pengundi kawasan Bayan Baru. Masalah peribadi beliau yang cuba digambarkan sebagai masalah dasar menunjukkan bahawa dia tidak ada semangat setiakawan atau muafakat dalam Pakatan Rakyat.

"Pakatan sudah menjadi kerajaan dan bukannya pembangkang dan oleh itu cara kita menyelesaikan masalah juga mestilah cara kerajaan bukannya cara pembangkang.

"Tindakan beliau seolah-olah menunjukkan dia tidak faham peranan sebagai anggota kerajaan. Disamping itu saya rasa dalam keadaan sahabat beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadapi pelbagai tekanan dari Umno dan BN, tindakan beliau itu dilihat sebagai menikam sahabat beliau sendiri dari belakang, beliau sebenarnya tidak patut sebagai seorang sahabat menambah lagi tekanan dan masalah sahabat beliau sendiri," kata Shamsul.

sumber :suara-keadilan.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Orang kito