Kawan-kawan dan sahabat handai....

Jumaat, Oktober 30, 2009

Tok Guru Nik Aziz - Yang penting mesejnya berjaya disampaikan


Walaupun jawatankuasa pusat PAS malam tadi bersetuju mengadakan satu seminar politik pada 7 Nov ini dan bukannya muktamar khas bagi membincangkan kedudukan "dua tiga kerat pemimpin tertingginya yang bermasalah", namun isu sebenar tentang puak ini telah dapat disampaikan kepada anggota parti itu, kata beberapa pemerhati politik.

Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata keputusan mesyuarat jawatankuasa itu malam tadi tidak penting berbanding kejayaan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam menyampaikan mesejnya mengenai pemimpin-pemimpin yang bermasalah itu yang hasilnya akan dilihat pada masa hadapan.

"Beliau telah membuka mata bahawa memang ada masalah dalam kalangan pemimpin parti itu dan harus disingkirkan. Mungkin tidak berlaku sekarang kerana mustahil pemimpin yang berkenaan akan meletak jawatan.

"Tetapi mesej ini akan diingati oleh perwakilan pada pemilihan parti akan datang," kata Abdul Aziz, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Nik Abdul Aziz sebelum ini telah meminta parti itu mengadakan mesyuarat agung luar biasa bagi membolehkan perwakilan membuat keputusan mengenai kedudukan beberapa pemimpin PAS yang disifatkan sebagai bermasalah termasuk mereka yang pro-Umno.

Antara pemimpin yang dinamakan ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali.

Merujuk kepada saranan Hasan mengharamkan penjualan alkohol di kawasan majoriti Islam di Selangor, Abdul Aziz berpendapat bahawa Nik Abdul Aziz sedar tuntutan sedemikian telah menyebabkan PAS kehilangan sokongan bukan Melayu.

"Beliau tahu PAS berdepan dengan risiko kehilangan undi bukan Melayu jika mereka berterusan dengan cara sekarang, dan sebab itulah beliau bersuara agar orang bukan Melayu kembali yakin kepada PAS," katanya.

Abdul Aziz menolak kemungkinan bahawa tindakan mursyidul am itu akan menyebabkan PAS berpecah.

"Sejarah menunjukkan PAS tidak pernah berpecah sekalipun ada konflik. Ini cuma ribut dalam cawan, dan mereka akan terus bersama sehinggalah penyelesaian sebenar tercapai," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Orang kito