Kawan-kawan dan sahabat handai....

Sabtu, Disember 19, 2009

Leburkan Sikap Perkauman Sempit, Kata Anwar


SHAH ALAM, 19 Dis (Bernama) -- Semua kaum di negara ini perlu menolak fahaman perkauman sempit demi mempertahankan prinsip keadilan bagi semua, kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya orang Melayu dan Bumiputera perlu diberi keyakinan baru dalam mengikis sikap perkauman serta mengetepikan dasar meminggirkan golongan lain.

"Kita harus keluar dari kepompong perkauman dan ini adalah dasar perjuangan utama dalam Pakatan Rakyat.

"Kita tidak akan menang (pilihan raya) sekiranya terus dengan semangat usang yang mempertahankan sudut perkauman," katanya ketika menyampaikan ucapan perdana pada Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama di sini pada Sabtu.

Anwar berkata keadilan bermakna masyarakat miskin yang majoritinya orang Melayu, Bumiputera serta orang Cina di kawasan bandar dan India di estet harus diberi perhatian dan pembelaan.

Beliau juga berkata gagasan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada parti PKR, PAS dan DAP mengesyorkan supaya umur kelayakan mengundi dikaji semula daripada 21 tahun kepada 18 tahun melalui pendaftaran secara automatik.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi jaminan bahawa partinya akan sentiasa setia kepada perjuangan parti pakatan itu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula memperkenalkan konsep anak Malaysia 5K iaitu keadilan, kebebasan, kebenaran, kebajikan dan ketakwaan kepada Tuhan.

Katanya dasar Pakatan Rakyat telah dirangka dengan persetujuan semua pemimpin ketiga-tiga parti.

"Kompromi seperti ini adalah petanda baik bahawa kerjasama erat dalam Pakatan Rakyat adalah berdasarkan landasan perbincangan dan perundingan yang bernas tanpa didominasikan oleh sesuatu pihak, katanya.

Konvensyen itu telah dihadiri lebih 1,500 perwakilan serta Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Pengerusi DAP Karpal Singh dan Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Orang kito