Kawan-kawan dan sahabat handai....

Isnin, Disember 14, 2009

Husam Bakal Anjur Rapat Umum Royalti Minyak...


HULU KELANG, 14 Dis - Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa berhasrat mengadakan rapat umum besar-besaran berhubung isu pemberian royalti minyak.

Katanya, rapat umum yang akan diadakan di Kelantan, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur itu akan menjemput kehadiran Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Satu daripada cadangan kita untuk mengadakan majlis rapat umum ceramah besar-besaran dengan penyertaan Pengasas Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah bersama dimulakan dengan Kelantan, Terengganu, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pidato Rakyat bertajuk Antara Royalti dan Ehsan: Siapa Pengkhianat Bangsa, semalam.

Husam berkata, Kelantan berhak menerima royalti minyak yang disumbangkan kepada perindustrian petroleum Negara setelah menandatangani perjanjian pada 1975 selepas Akta Petroleum 1974 dibentangkan.

Katanya, mengikut seksyen 4 akta ini menyatakan bahawa segala hak keistimewaan dan khazanah petroleum yang diserahkan kerajaan negeri kepada Petronas akan menerima bayaran wang tunai.

“Dalam seksyen 4 menyatakan segala hak keistimewaan dan khazanah petroleum ini diserahkan oleh kerajaan negeri kepada Petronas dan Petronas mesti membayar wang tunai kepada kerajaan negeri yang berkenaan,” katanya.

Husam berkata, royalti yang diterima ini juga bukan sahaja untuk Kelantan tetapi juga boleh digunakan untuk membentuk satu model penggunaan wang kekayaan negara untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.

Beliau turut mendesak bakal Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamed lebih telus menangani isu rasuah.

“Kita minta pesuruhjaya SPRM yang baru ini lebih adil dalam cara dia menangani isu-isu dalam negara kita dan tidak membiarkan isu-isu yang terbengkalai,” katanya. - FANSURINA ABDULLAH

sumber: selangorkini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Orang kito