KUALA LUMPUR 3 Apr - Hakim Mahkamah Tinggi Rayuan Kuasa-kuasa Khas, Datuk Mohamed Apandi Ali menetapkan 4 Mei bagi sebutan kes permohonan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan 13 individu lain yang mencabar keputusan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi yang enggan mendedahkan laporan audit dan perjanjian konsesi berhubung penswastaan air.
Mahkamah juga mengarahkan supaya Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor menghantar surat tentang pendirian mereka yang sebelum ini mempunyai pendirian berbeza dengan kerajaan negeri.
Sebelum ini Penasihat Undang-undang bersetuju mendedahkan perjanjian konsesi tetapi kemudiannya berkata ia tidak boleh didedahkan atas alasan Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Selain itu juga mahkamah meminta Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mengambil bahagian dalam kes tersebut kerana perbicaraan dan keputusan kes ini melibatkan mereka.
Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud menjelaskan kes ini terpaksa ditangguh lagi kerana hal-hal yang tidak sepatutnya berlaku.
"Walaupun kita mengharapkan kes ini dapat diselesaikan tetapi ada masalah teknikal yang perlu diselesaikan seperti Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Selangor perlu menghantar surat kepada mahkamah tetapi sehingga kini belum dibuat dan juga Syabas diminta supaya diberi peluang terlibat dengan mana-mana pihak dalam perbicaraan ini.
"Jadi nampaknya kes ini akan ditangguh lagi sehingga 4 Mei, kita harapkan kes ini dapat diselesaikan dengan segera kerana perjanjian konsesi adalah satu isu yang terlibat dengan soal prinsip hak dalam mendapatkan keterangan semua perkara," jelas Syed Shahir yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Selangor.
Sebelum ini, MTUC dan 13 individu lain termasuk dua kanak-kanak berusia 10 dan 15 tahun telah menfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Januari 2007 agar mahkamah mengeluarkan satu perintah deklarasi bahawa laporan audit itu dan perjanjian konsesi yang ditandatangani di antara Syabas dengan Kerajaan Negeri Selangor pada 15 Disember 2004 diklasifikasikan sebagai dokumen awam dan bukan dokumen rahsia.
suara-keadilan.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan