Kawan-kawan dan sahabat handai....

Selasa, Disember 01, 2009

Lagi hadiah untuk kakitangan kerajaan...


Letak kereta berbayar di Putrajaya mulai hari ini

PUTRAJAYA 30 Nov. - Perbadanan Putrajaya akan menguatkuasakan sistem tempat letak kereta berbayar membabitkan kawasan Kompleks Pejabat Kerajaan di Presint 1 dan Presint Diplomatik mulai esok.

Serentak itu, sebanyak 386 lot tempat letak kereta di sekitar Kompleks Perdana Putra, Laman Perdana, Kompleks B dan Kompleks C di Presint 1 yang sebelum ini digunakan secara percuma akan dikenakan bayaran.

Timbalan Pengarah Perhubungan Awam Perbadanan Putrajaya, Zaharah Selamat berkata, langkah itu untuk memberikan kemudahan kepada para pelawat mendapatkan tempat meletak kereta.

Selain itu, katanya, langkah terbaru itu adalah bagi mengawal orang ramai meletak kereta di merata-rata tempat.

"Penguatkuasaan sistem bayaran itu dijangka dapat mengurangkan masalah kekurangan tempat letak kereta dan kesesakan lalu lintas yang kian meruncing di kawasan Kompleks Pejabat Kerajaan di Putrajaya.

"Pemilik kenderaan dinasihatkan agar meletak kenderaan mereka di kawasan tempat letak kereta berbayar yang ditetapkan bagi mengelak daripada dikompaun atau disaman oleh penguat kuasa trafik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zaharah, penguatkuasaan sistem itu juga diperluaskan di kawasan komersial di Presint Diplomatik dengan sebanyak 559 petak meletak kereta disediakan untuk kemudahan orang ramai.

Katanya, kawasan tempat letak kereta berbayar itu beroperasi setiap hari bekerja mulai pukul 8 pagi sehingga 6 petang dengan kadar bayaran sebanyak 50 sen setiap jam bagi petak jenis 'bayar dan pamer' manakala RM1 sejam untuk tempat letak kereta terkawal dan tertutup.

Katanya, bagi memastikan keperluan tempat letak kereta mencukupi, Perbadanan Putrajaya menyediakan kawasan Park & Ride (P&R) di Presint 1 dan di Presint 7 untuk menampung tambahan 3,000 petak tempat letak kereta pada satu-satu masa.

"Kemudahan itu turut dilengkapi dengan perkhidmatan bas Nadi Putra dari kedua-dua kawasan P&R itu ke pejabat-pejabat kerajaan.

"Pihak perbadanan juga bersedia meningkatkan kekerapan perkhidmatan bas dari kawasan P&R ini jika sambutan pengguna menggalakkan," katanya.

1 ulasan:

Orang kito