Kawan-kawan dan sahabat handai....

Isnin, Februari 15, 2010

Zambry Gelabah Adakan Sambutan Tahun Baru Cina

Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sangat menggelabah dan cuba menarik sokongan orang Cina demi mempertahankan kerajaan yang disahkan oleh mahkamah minggu lepas dengan mengadakan sambutan Tahun Baru Cina.

Ketua Penerangan PAS Perak, Khalil Idham Lim berkata, walaupun tidak menyalahi syariat namun ia telah melanggar adat susila yang selama ini diamalkan dan nampak sangat ‘bodohnya’.

Katanya, sebelum ini, beliau ada terdengar desas desus yang mengatakan Zambry akan mempergunakan sambutan itu untuk menarik sokongan masyarakat Cina supaya kembali menyokong BN tetapi tidak terfikirlah sampai ke tahap itu.

“Saya sangat terkejut dengan tindakan Zambry yang mendahului zaman dengan mengadakan sambutan Hari Raya Cina di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di Ipoh, semalam, kononnya seperti yang dilaporkan oleh media mendapat sambutan yang hangat dari pelbagai bangsa di Perak,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong.

Baginya, itulah sejarah baru dalam negara apabila seorang pemimpin Umno mengadakan rumah terbuka khususnya di kediaman rasmi bertaraf menteri besar di Perak.

“Sebelum ini kita dengar cerita kucing bertanduk dan ikan keli bersisik, sekali ini ianya berlaku di Perak dengan seorang yang mengaku melayu mengadakan sambutan Hari Raya Cina,” katanya.

Setiausaha Sekretariat Pakatan Rakyat Perak itu menambah, sememangnya tidak masuk akal dan hanya dilakukan oleh orang yang tidak berakal apabila mengadakan hari terbuka bangsa lain.

“Kalau hendak dikatakan menghina mungkin boleh tetapi yang pasti Zambry sudah melukai hati penulis dan saya kira inilah yang dirasakan oleh penyokong Pakatan Rakyat khususnya orang yang sebangsa dengan saya,” katanya lagi.

Sebenarnya kata beliau sewajarnya rumah terbuka Tahun Baru Cina hanya dianjurkan oleh pemimpin BN yang berbangsa Cina seperti yang akan dilakukan hari ini oleh Adun Cenderiang, Dr Mah Han Soon.

Beliau berkata sebenarnya Zambry kalaulah dia cerdik hanya mempergunakan sambutan Tahun Baru Cina anjuran MCA itu untuk kepentingan politiknya dan BN.

“Itulah kebiasaan yang dilakukan oleh semua pemimpin Umno selama 50 tahun lebih dan tradisi ini telah dicabuli oleh menteri besar di Perak, bertambahlah koleksi pelanggaran sekali ini pelanggaran amalan budaya dan adat resam,” ujarnya.

harakahdaily

Setiausaha Politik Tan Sri Nor Mohamed Yakcop Letak Jawatan

Hasbie Satar, Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop telah meletakkan jawatan berkuatkuasa semalam, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Menurut Bernama kenyataan satu perenggan itu bagaimanapun tidak menyatakan sebab peletakan jawatan itu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengesahkan kepada Suara Keadilan sebelum ini bahawa seorang Setiausaha Politik kepada seorang menteri kanan telah ditahan pada hari Jumaat, 12 Februari lalu.

Dalam serbuan SPRM ke atas pangsapuri pegawai tersebut di Pulau Pinang, sejumlah wang tunai bernilai lebih RM2 juta dijumpai.

Setiausaha Politik tersebut kini ditahan untuk membantu siasatan SPRM.

sumber:suara-keadilan.com

Ahad, Februari 14, 2010

SPRM Sahkan Setiausaha Politik Ditangkap


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengesahkan penahanan Setiausaha Politik kepada seorang menteri kanan atas dakwaan memiliki kekayaan yang tidak munasabah dalam tempoh yang singkat.

Ketika dihubungi Suara Keadilan Ketua Pesuruhajaya SPRM Datuk Abu Kassim Mohamad berkata agensi itu juga akan memanggil beberapa saksi lain bagi membantu sisatan SPRM.

"Saya tidak dapat beri komen lanjut mengenai penangkapan ini. Sesiapa saja yang boleh bantu dalam penyiasatan kami sudah tentu akan kami panggil. Datuk Shukri (Abdull, Timbalan Ketua Persuruhjaya SPRM) ada maklumat lebih lanjut. Saya bercuti sekarang.

"Kita mungkin akan bertemu media pada hari Rabu depan atau mengeluarkan kenyataan media lebih awal, ini terpulang kepada keadaan.

"Berilah SPRM masa dan ruang untuk menjalankan tugas kami dan selepas itu kami akan memberi taklimat yang sewajarnya," kata Datuk Abu Kassim.

Menurut laporan media setiausaha politik itu ditahan apabila pegawai SPRM dari Putrajaya menyerbu pangsapuri beliau di Teluk Air Tawar, Butterworth pukul 3.30 petang Jumaat lalu.

Sejumlah wang tunai bernilai lebih RM2 juta ditemui semasa serbuan.Turut dirampas termasuk kenderaan pacuan empat roda yang didaftarkan di bawah nama sebuah syarikat yang berpangkalan di Pulau Tikus, Pulau Pinang.

Sebelum ini, akaun bank suspek telah dibekukan bagi tujuan siasatan SPRM.

Pada 13 Disember lalu, media mula melaporkan SPRM sedang menyiasat seorang setiausaha politik yang dikatakan mengumpulkan berjuta-juta ringgit nilai hartanah dalam tempoh yang singkat.

Pegawai penyiasat juga memperoleh arahan untuk menahan dan membekukan beberapa hartanah termasuk kereta dan rumah mewah bagi membantu siasatan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram.

Selain itu, SPRM turut menyiasat pembelian beberapa hartanah di sekitar Lembah Klang yang dikatakan sebagai balasan meluluskan beberapa projek bernilai jutaan ringgit.

Pegawai penyiasat juga dikatakan turut mengenal pasti beberapa individu berkaitan kes terbabit dan akan memanggil mereka membantu siasatan tidak lama lagi.

Difahamkan bahawa siasatan berkenaan di antara kes-kes berprofil tinggi yang sedang dibongkar hasil maklumat dan laporan daripada orang ramai.

Suspek dipercayai membeli kesemua hartanah menggunakan proksi.

sumber: suara-keadilan.com

Orang kito