Kawan-kawan dan sahabat handai....

Isnin, November 30, 2009

"Umno kini busuk hingga ke ususnya" - Mahathir


KUALA LUMPUR, 30 Nov: Ketika semua media menyuluh apa yang berlaku dalam PAS, Tun Dr Mahathir menulis dalam blognya bahawa seorang bekas pemimpin kanan Umno bercadang untuk menyokong PAS kerana "Umno busuk hingga ke ususnya."

"Umno busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi," kata bekas pemimpin kanan Umno itu kepada Mahathir sebagaimana yang ditulis beliau dalam blognya.

"Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong Umno. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan.

" Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab Umno tidak lagi akan diberi peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli Umno juga," tulis Mahathir lagi.

Berikut adalah tulisan penuh Mahathir dalam blognya Chedet yang disiarkan pada 30 November 2009 jam 12:07 tengahari.

1. Pilihanraya Umum ke-13 hanya dua tahun lagi. Saya sedang meneliti reaksi rakyat terhadap UMNO dibawah pimpinan baru. Saya terkejut. Saya terkejut kerana seorang bekas pemimpin UMNO yang kanan telah meluahkan perasaannya dengan berkata "UMNO is rotten to the core" (UMNO busuk hingga ke ususnya).

2. Beliau telah berkata yang beliau sedang memikir untuk menyokong PAS. Beliau juga berkata beliau telah bertemu ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang telah bersara dan mereka speendapat dengannya.

3. UMNO busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi katanya. Di cawangan, ketua cawangan hanya berjuang untuk mengekal dirinya sebagai ketua sahaja. Kenapa? Sebabnya majoriti ketua cawangan dapat jadi pengerusi Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dengan elaun tertentu dan kuasa untuk mengagih peruntukan. Berpeluang juga untuk jadi kontraktor Kelas F untuk projek kecil di luar bandar.

4. Untuk menentukan dirinya tidak dicabar ketua cawangan tidak akan benarkan sesiapa yang lebih terpelajar daripadanya masuk UMNO cawangannya. Lebih daripada itu kebanyakan peruntukan untuk jadi ahli UMNO, yang mana dia mesti melalui cawangan, tidak akan dilayan. Tujuannya ialah supaya cawangannya tidak mempunyai banyak ahli kerana mereka tetap akan menimbulkan masalah dan sukar dikawal, bahkan sukar disogok pun.

5. Sebab itu tidak ramai ahli profesional yang dapat menjadi ahli UMNO. Sebaliknya semakin ramai daripada pemimpin PAS terdiri daripada doktor, peguam, jurutera dan lain-lain profesyen.

6. Oleh kerana ketua cawangan biasanya tidak memiliki pelajaran yang tinggi dan beliau menentukan ahli lain dalam cawangannya mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih rendah daripadanya, maka apabila ketua terpaksa berhenti kerana sebab-sebab tertentu, maka penggantinya akan terdiri daripada yang kurang berkebolehan daripadanya. Dengan itu kualiti kepimpinan akan merosot sepanjang masa.

7. Tentu ada cawangan yang tidak seperti ini tetapi pengecualian hanya mengesahkan keadaan yang sebenar.

8. UMNO, kata bekas pemimpin kanan ini sekarang dipimpin oleh perasuah. Mereka menjadi ahli Majlis Tertinggi kerana sogokan wang. Orang ramai tidak akan serah nasib mereka kepada perasuah.

9. Penempatan perasuah dalam Kerajaan dan badan-badan lain juga memburukkan lagi imej UMNO. Sudah tentu perasuah akan dipilih sebagai calon UMNO dalam Pilihanraya Umum ke-13. Jika mereka diberi kemenangan maka negara akan dapat Kerajaan perasuah. Sebab itu beliau tidak akan sokong UMNO sebaliknya akan menyertai dan menyokong parti lawan. Katanya lagi hingga kini separuh daripada orang Melayu tidak merasai nikmat kerana Kerajaan-Kerajaan pimpinan UMNO menidakkan hak mereka sedangkan mereka juga orang Melayu walaupun mereka menyokong parti lawan. Mereka yang menyokong parti lawan bertambah sejak (Tun) Abdullah kerana ramai daripada ahli UMNO sendiri sudah tidak percaya kepada UMNO.

10. Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong UMNO. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan.

11. Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab UMNO tidak lagi akan diberi peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli UMNO juga.

12. Rakan-rakan dalam Barisan Nasional semuanya berpecah dan lemah. Mereka tidak mampu menjayakan Barisan Nasional.

13. Masa semakin singkat untuk memperbaiki keadaan ini. Saya mencatat maklumat ini untuk pengetahuan umum sahaja.

sumber:harakahdaily

tumbangnya mat hassan bila menangnya isa.........


MB Negeri Sembilan disiasat isu duit RM10 juta

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Muhamad Hassan disiasat oleh Bank Negara berkaitan pemindahan wang berjumlah RM 10 juta yang dilakukan melalui Pengurup wang pada tahun 2008 ke London.

Tindakan tersebut ternyata melanggar undang-undang negara kerana setiap pemindahan wang ke luar negara melibatkan jumlah yang besar perlu melalui prosedur dan kebenaran Bank Negara.

Malahan pemindahan wang melibatkan jumlah yang besar menimbulkan persoalan iaitu dari mana Mohamad Hassan dapat duit sebanyak itu dan apa tujuannya duit tersebut dihantar ke London?

Isu terkini melibatkan Mohamad Hassan seperti mengulangi episod bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhamamad Taib yang pernah ditangkap ketika sedang pikul guni duit di Brisbane Australia.

Cuma Mohamad Hassan cerdik sedikit dari Mohamaad Taib kerana tidak pikul duit ke luar negara tetapi melalui orang tengah.

Saya yakin isu ini akan tenggelam dan hilang macam tu sahaja melainkan ada pihak tertentu yang tidak mahukan lagi Mohamad Hassan menjadi MB Negeri Sembilan.

sumber:angkasanuri

Najib gerun dengan doa bala tok guru.....

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau tidak akan meminta Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memohon maaf berhubung hasrat Menteri Besar Kelantan itu berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan beliau dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan, Bernama dipetik.

Perdana Menteri berkata Nik Abdul Aziz perlu sedar ramai umat Islam melihat kenyataannya (Nik Abdul Aziz) itu sebagai keterlaluan dan tidak melambangkan semangat keIslaman.

"Saya tidak faham mengapa perlu berdoa sedemikian sebab memang kita bagi wang ihsan kepada rakyat Kelantan.

"Apa juga nama yang diberi, royalti atau wang ihsan, jumlahnya tetap sama. Dan rakyat Kelantan yang akan terima, bukan kita akan guna untuk tujuan lain," kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia ketika ditanya mengenai perkara itu di sini Ahad.

Najib berkata sebelum ini pun kerajaan pusat memperuntukkan lebih RM7 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan untuk rakyat Kelantan walaupun negeri itu diterajui pihak lain.

"Jadi, macam mana pula mereka nak tuduh kita ni tidak adil dan sebagainya," kata beliau yang berada di Port of Spain untuk menghadiri Sidang Kemuncak Ketuaketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2009 yang berakhir Ahad.

Menurut Perdana Menteri, segala isu boleh dibincang untuk mencari jalan penyelesaian, dan bukannya digunakan untuk mencetus pergaduhan.

"Berbalah sesama sendiri merupakan sesuatu yang tidak diterima dalam Islam, begitu juga bila kita mengutuk orang lain tanpa asas," kata Najib.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan pusat akan memberi wang ihsan kepada kerajaan Kelantan mulai tahun hadapan bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu.

Menyentuh krisis dalaman MCA, Najib berharap perkara itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Saya harap perkara ini dapat diselesaikan. Saya telah pun menyerahkannya kepada timbalan saya Tan Sri Muhyiddin Yassin (untuk menyelesaikan masalah itu)," katanya.

"Jika tidak, saya mungkin perlu bercakap dengan kumpulan (yang berbalah) itu," kata Najib.

Ulasan GB

Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah mengutus Mu’adz ke Yaman dan Beliau berkata kepadanya : "Takutlah kamu akan doa seorang yang terzalimi, kerana doa tersebut tidak ada hijab (penghalang) di antara dia dengan Allah". H.R. Bukhari dan Muslim

Ketika Rasulullah SAW mengutus seorang sahabatnya yang bernama Mu’adz bin Jabal ke negeri Yaman untuk berdakwah di sana, Beliau memberikan beberapa pesan penting dalam mengajak manusia kepada kebenaran yang telah ajar olehnya SAW. Dalam hadits ini beliau berpesan kepada Mu’adz bin Jabal agar waspada dan takut akan doa orang yang terzalimi, kerana doa orang yang terzalimi tidak akan tertolak. Demikian pesan Rasulullah SAW : “ … doa tersebut tidak ada hijab (penghalang) diatara dia dengan Allah”. Oleh kerananya bersikap adil sentiasa harus ada pada diri setiap individu muslim.

Banyak kita dapati dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW hancurnya umat terdahulu disebabkan perilaku zalim yang mereka lakukan.

Kata Najib "Nik Abdul Aziz perlu sedar ramai umat Islam melihat kenyataannya (Nik Abdul Aziz) itu sebagai keterlaluan dan tidak melambangkan semangat keIslaman", tetapi Najib terlupa bahawa lebih ramai umat Islam menyedari tindakan UMNO BN merampas hak royalti rakyat Kelantan itu lebih keterlaluan dan tidak mematuhi ajaran Islam.

Kata Najib lagi, "memang kita bagi wang ihsan kepada rakyat Kelantan" tetapi Najib nmenutup fakta bahawa Perjanjian adalah diantara Petronas dengan Kerajaan Negeri. Allah dan sekalian malaikat mengutuk perjanjian yang tidak ditunaikan. Memberi wang ehsan kepada Jawatankuasa Pembangunan Pusat adalah langkah menafikan Kedaulatan Undang-undang dan Keluhuran Perlembagaan yang telah menetapkan PAS sebagai parti yang memerintah secara sah di Kelantan.

UMNO BN sengaja tidak mengagihkan wang ehsan kepada kerajaan sah Kelantan kerana khuatir PAS bertambah kukuh kerana akan dapat melaksanakan pelan pembangunan yang lebih mantap untuk rakyat Kelantan.

Itulah niat sebenar Mahathir sewaktu tidak menyalurkan pembangunan ke Kelantan satu ketika yang kemudiannya langkah itu dituruti oleh Tun Abdullah dan kini Datuk Seri Nohd Najib.

Kutukan dan kehinaan wajar didoakan ke atas pemimpin UMNO BN yang menzalimi kerajaan pilihan rakyat yang sah di negeri Kelantan.

Pesanan kita kepada Najib yang kini berada di Port Of Spain: Kedudukanmu sebagai PM takkan lama apabila kezaliman itu anda teruskan. Saksikan sendiri kalam Ilahi, apa berlaku kepada Tun Abdullah yang melarikan wang ehsan Terengganu daripada Kerajaan PAS Terengganu satu ketika yang belum berapa lama dulu.

Mengenai Tun Mahathir, ia sedang menunggu masa untuk dihempaskan ke perut bumi terhadap sekalian dosa dan kezalimannya. InsyaAllah.

sumber:greenboc.blogspot.com

Orang kito