Kawan-kawan dan sahabat handai....

Ahad, Februari 14, 2010

SPRM Sahkan Setiausaha Politik Ditangkap


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengesahkan penahanan Setiausaha Politik kepada seorang menteri kanan atas dakwaan memiliki kekayaan yang tidak munasabah dalam tempoh yang singkat.

Ketika dihubungi Suara Keadilan Ketua Pesuruhajaya SPRM Datuk Abu Kassim Mohamad berkata agensi itu juga akan memanggil beberapa saksi lain bagi membantu sisatan SPRM.

"Saya tidak dapat beri komen lanjut mengenai penangkapan ini. Sesiapa saja yang boleh bantu dalam penyiasatan kami sudah tentu akan kami panggil. Datuk Shukri (Abdull, Timbalan Ketua Persuruhjaya SPRM) ada maklumat lebih lanjut. Saya bercuti sekarang.

"Kita mungkin akan bertemu media pada hari Rabu depan atau mengeluarkan kenyataan media lebih awal, ini terpulang kepada keadaan.

"Berilah SPRM masa dan ruang untuk menjalankan tugas kami dan selepas itu kami akan memberi taklimat yang sewajarnya," kata Datuk Abu Kassim.

Menurut laporan media setiausaha politik itu ditahan apabila pegawai SPRM dari Putrajaya menyerbu pangsapuri beliau di Teluk Air Tawar, Butterworth pukul 3.30 petang Jumaat lalu.

Sejumlah wang tunai bernilai lebih RM2 juta ditemui semasa serbuan.Turut dirampas termasuk kenderaan pacuan empat roda yang didaftarkan di bawah nama sebuah syarikat yang berpangkalan di Pulau Tikus, Pulau Pinang.

Sebelum ini, akaun bank suspek telah dibekukan bagi tujuan siasatan SPRM.

Pada 13 Disember lalu, media mula melaporkan SPRM sedang menyiasat seorang setiausaha politik yang dikatakan mengumpulkan berjuta-juta ringgit nilai hartanah dalam tempoh yang singkat.

Pegawai penyiasat juga memperoleh arahan untuk menahan dan membekukan beberapa hartanah termasuk kereta dan rumah mewah bagi membantu siasatan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram.

Selain itu, SPRM turut menyiasat pembelian beberapa hartanah di sekitar Lembah Klang yang dikatakan sebagai balasan meluluskan beberapa projek bernilai jutaan ringgit.

Pegawai penyiasat juga dikatakan turut mengenal pasti beberapa individu berkaitan kes terbabit dan akan memanggil mereka membantu siasatan tidak lama lagi.

Difahamkan bahawa siasatan berkenaan di antara kes-kes berprofil tinggi yang sedang dibongkar hasil maklumat dan laporan daripada orang ramai.

Suspek dipercayai membeli kesemua hartanah menggunakan proksi.

sumber: suara-keadilan.com

1 ulasan:

  1. Quoted:

    "Selain itu, SPRM turut menyiasat pembelian beberapa hartanah di sekitar Lembah Klang yang dikatakan sebagai balasan meluluskan beberapa projek bernilai jutaan ringgit."

    Jika benar kenyataan di atas, bagaimana seorang set pol boleh meluluskan projek? atau siapa yang sebenarnya meluluskan projek? berkemungkinankah set pol juga seorang proksi?

    BalasPadam

Orang kito