Kawan-kawan dan sahabat handai....

Khamis, November 26, 2009

Selangor pertahan wang rakyat, tak akan bayar syabas


SHAH ALAM 25 Nov. - Kerajaan Selangor menegaskan tidak akan membayar ganti rugi kepada anak syarikat Puncak Niaga Holdings Bhd iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berhubung pengumuman keuntungan Puncak Niaga.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Puncak Niaga dalam satu pengumuman semalam menyatakan keuntungan bersihnya meningkat sebanyak 275 peratus atau RM46.7 juta pada suku akhir 30 September lepas berikutan peningkatan pendapatan dan ganti rugi kenaikan kadar tarif air oleh kerajaan negeri itu.

“Kita tidak akan membayar ganti rugi berhubung kenaikan kadar tarif air kerana kerajaan Selangor tidak pernah bersetuju dengan cadangan itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun terdapat terma yang termaktub (bayaran ganti rugi) dalam perjanjian konsesi di antara kerajaan Selangor dan Syabas tetapi terma itu hanya dipakai jika terdapat persetujuan daripada kerajaan negeri.

Abdul Khalid, berkata pada mesyuarat lembaga pengarah, Kumpulan Darul Ehsan Bhd. amat konsisten menyatakan bahawa Syabas perlu mendapatkan persetujuan daripada kerajaan negeri dalam menentukan kadar tarif air.

“Sehubungan itu tiada persetujuan dalam isu kenaikan kadar tarif air dan isu ganti rugi tidak timbul,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri berpendirian kenyataan Puncak Niaga tidak mematuhi perjanjian yang telah dibuat dan ia merupakan satu kenyataan keuntungan lebih tetapi realitinya bukan begitu, di mana syarikat itu perlu bertanggungjawab terhadap pemegang sahamnya.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri juga tidak akan bertanggungjawab ke atas laporan yang dikeluarkan Puncak Niaga mengenai peningkatan keuntungan itu seperti yang disiarkan media semalam. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Orang kito